GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri disyorkan mempertimbangkan pelaksanaan Inisiatif Turapan Sejuk (Cool Pavement Initiative) sebagai pendekatan teknologi hijau bagi mengurangkan kesan fenomena Pulau Haba Bandar (Urban Heat Island, UHI) serta meningkatkan daya tahan iklim Pulau Pinang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong berkata, kajian teknikal dan penilaian kos pelaksanaan perlu dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang bagi menilai kesesuaian teknologi berkenaan di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tahun 2027 dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini hari ini.
Menurut beliau, kawasan bandar berkepadatan tinggi seperti Batu Lancang, Bukit Gelugor dan George Town berdepan peningkatan suhu persekitaran akibat kepadatan bangunan serta penggunaan turapan asfalt hitam yang menyerap haba matahari.
Keadaan itu, ujarnya, bukan sahaja meningkatkan keperluan penggunaan elektrik bagi pendingin hawa, malah menjejaskan keselesaan dan kesihatan orang ramai, khususnya pejalan kaki, penjaja serta golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak.
Beliau menjelaskan bahawa jalan bertar konvensional mampu menyerap antara 80 hingga 95 peratus sinaran suria, sekali gus menyebabkan suhu permukaan jalan meningkat sehingga 70 darjah Celsius ketika cuaca panas.
Berbeza dengan tanggapan umum, teknologi cool pavement bukan berfungsi menyerap haba, sebaliknya menggunakan teknologi pantulan suria (solar reflective technology) untuk memantulkan semula sebahagian sinaran matahari.
“Teknologi ini menggunakan salutan khas berasaskan mikrosfera dan pigmen dengan kadar pantulan suria tinggi yang diaplikasikan pada permukaan asfalt.
“Penggunaan salutan tersebut berupaya mengurangkan suhu permukaan jalan antara 15 hingga 20 darjah Celsius, selain menurunkan suhu udara persekitaran mikro antara 1.5 hingga 3.0 darjah Celsius,” jelasnya.

Tambah beliau, teknologi berkenaan telah dilaksanakan di Arab Saudi, khususnya di kawasan tumpuan jutaan jemaah di Mina dan sekitar Masjid Namirah di Arafah, Mekah, sebagai antara pendekatan menangani cuaca panas melampau.
Ulasnya lagi, pelaksanaan teknologi itu bukan sahaja berpotensi mengurangkan pelepasan haba ke persekitaran dan meningkatkan keselesaan pejalan kaki, malah membantu mengurangkan pengumpulan haba di kawasan perumahan bertingkat serta memanjangkan jangka hayat turapan melalui pengurangan risiko keretakan akibat pendedahan kepada suhu melampau.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Pulau Pinang perlu bersiap siaga menghadapi perubahan iklim global dan peningkatan gelombang haba dengan meneliti pendekatan yang telah dilaksanakan di negara lain, termasuk Arab Saudi.
Bagi Pulau Pinang, khususnya kawasan perumahan bertingkat kos rendah di Batu Lancang yang mempunyai kekurangan kawasan teduhan, inisiatif ini wajar dipertimbangkan sebagai projek perintis.
“Keutamaan perlu diberikan kepada kawasan yang mempunyai pendedahan tinggi kepada haba, terutama lokasi tumpuan warga emas, kanak-kanak, penjaja dan pengguna pengangkutan awam,” katanya.
Mengulas lanjut, Ah Teong mencadangkan supaya Projek Rintis Penang Cool Pavement dimulakan oleh MBPP dan JKR Pulau Pinang di beberapa kawasan berisiko tinggi UHI, antaranya laluan pejalan kaki, hentian bas, persimpangan lampu isyarat, petak letak kenderaan dan lorong belakang di kawasan tumpuan awam.
“Antara lokasi yang boleh dipertimbangkan termasuk kawasan berhampiran Hospital Pulau Pinang, sekolah-sekolah di Batu Lancang, kawasan Warisan Dunia UNESCO George Town serta kawasan perumahan kos rendah,” katanya lagi.
Menurutnya, kajian dan projek perintis itu perlu merangkumi penilaian keberkesanan pengurangan suhu, kesesuaian bahan dengan iklim tropika, kos pemasangan dan penyelenggaraan sebelum teknologi berkenaan diperluas ke kawasan lain.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan agar pelaksanaan cool pavement disepadukan dengan program penanaman pokok teduhan dan penghijauan bandar bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sejuk, selamat dan lestari untuk rakyat.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan kesan haba bandar, malah berpotensi menterjemahkan komitmen Kerajaan Negeri menerusi agenda Penang Nature-Based Climate Adaptation Programme (PNBCAP) dan Visi Penang2030.
“Pelaksanaan Penang Cool Pavement akan membuktikan kesungguhan Pulau Pinang untuk terus ke hadapan dalam meneroka penyelesaian inovatif dan membina sebuah negeri yang lebih berdaya tahan iklim demi melindungi kesihatan serta kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS