Syor PKPD di Penjara Reman dan kuarters Jabatan Penjara Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) COVID-19 mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman Pulau Pinang dan kuarters Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang.

Cadangan tersebut menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi JKKNPP adalah ekoran peningkatan mendadak kes aktif baharu COVID-19 yang dicatatkan hari ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa perkara itu diputuskan dalam mesyuarat JKKNPP yang bersidang pada petang tadi.

“PKPD ini sekiranya dilaksana bakal melibatkan seramai 2,800 orang termasuk golongan banduan, kakitangan Jabatan Penjara (Negeri Pulau Pinang) dan ahli-ahli keluarga Jabatan Penjara (Negeri Pulau Pinang) yang menetap di kuarters.

“Justeru, MKN Negeri akan membawa cadangan ini untuk pertimbangan Kerajaan Persekutuan bagi tindakan lanjut,” katanya pada sidang media dekat Komtar sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Pengarah Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP), Dr. Asmayani Khalib; Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Deputi Komisioner Datuk Abdul Aziz Majid; Pengarah Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang, Roslan Mohamed dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara Negeri Pulau Pinang (MKN), Nazrul Fazami Mohamad.

Kon Yeow berkata, sehingga kini, JKNPP memaklumkan bahawa kes-kes aktif Kluster Penjara Reman adalah tertumpu dalam kalangan banduan sahaja dan tidak melibatkan petugas Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang atau ahli-ahli keluarga mereka.

“Bagaimanapun, kesemua banduan di Penjara Reman Pulau Pinang termasuk kakitangan Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang telah menjalani saringan manakala saringan kedua juga akan dilakukan mulai hari ini.

“Justeru, pemantauan lanjut akan terus dijalankan dan orang ramai diminta agar kekal bertenang serta sentiasa bersama-sama Kerajaan Negeri menghadapi cabaran ini,” serunya.

Dalam pada itu, Asmayani memberitahu bahawa JKNPP telah mengenal pasti dua bangunan di Penjara Reman Pulau Pinang untuk dijadikan sebagai Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah.

“Setakat ini hanya tiga pesakit yang dikategorikan tahap tiga ke atas dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) manakala kes-kes positif lain ditempatkan di Penjara Reman.

“Kita juga telah menggerakkan beberapa pegawai untuk membantu pihak penjara mengawasi pesakit-pesakit di dalam Penjara Reman tersebut,” jelasnya.

Ketika menjawab soalan pemberita, Roslan menjelaskan bahawa pelaksanaan PKPD yang diumumkan Ketua Pesuruhjaya Penjara sebelum ini adalah secara pentadbiran dalaman sahaja.

“Langkah tersebut adalah bagi mengawal penularan COVID-19 dalam penjara yang mana Ketua Pesuruhjaya Penjara berkuasa mengeluarkan perintah tetap tersebut,” jelasnya.

Difahamkan, Kluster Penjara Reman Pulau Pinang mencatatkan 141 kes aktif baharu COVID-19 hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhan kes dari kluster berkenaan sehingga kini adalah sebanyak 160 kes dengan satu kematian.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : LAW SUUN TING