Syukur dengan prestasi khidmat wakil rakyat, harap pengundi terus beri peluang

PULAU TIKUS – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang, Tuan Chow Kon Yeow pagi ini bersama-sama calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng bagi menyantuni para penjaja, peniaga dan pengunjung di Pasar Pulau Tikus dekat sini.

 

Beliau yang diiringi dengan jentera kawasan tiba di pasar berkenaan dan bersarapan bersama-sama pengunjung Medan Selera Pasar Pulau Tikus sebelum beramah mesra dengan penjaja, peniaga dan pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar bersama.

CHOW Kon Yeow dan Joshua Woo Sze Zeng (empat dari kanan) merakam momen bersama-sama jentera yang menyertai siri jelajah dan ramah mesra di Pasar Pulau Tikus di sini pagi ini.

Ketika ditemui, Kon Yeow menzahirkan rasa syukur dengan prestasi khidmat wakil rakyat PH Pulau Pinang sebelum ini.

 

“Tidak banyak aduan terhadap prestasi wakil rakyat sebelum ini yang mana diperakui bahawa wakil rakyat PH Pulau Pinang amat tekun dan bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab (terhadap rakyat di kawasan masing-masing).

 

Di Pulau Tikus bahkan di seluruh Pulau Pinang isu yang dibangkitkan adalah mengenai isu pengurusan trafik ketika waktu puncak.

 

“(Dan) cabarannya bagaimana hendak menguruskan trafik terutama ketika waktu puncak termasuk isu parkir yang menjadi isu merunsingkan,” ujarnya yang juga merupakan Ketua Menteri ‘Caretaker’.

PENIAGA di Pasar Pulau Tikus menyambut baik kehadiran ‘muka baharu’ di DUN Pulau Tikus ini.

Kon Yeow yang juga calon bagi DUN Padang Kota turut memberitahu bahawa rakyat di Pulau Tikus khasnya, menyambut baik visi yang dikemukakan oleh Sze Zeng.

 

“Walaupun (beliau merupakan) muka baharu tetapi beliau mempunyai banyak pengalaman khususnya dalam isu pembangunan mampan yang menjadi kepakaran.

 

Maka, selain menjaga kepentingan dan keperluan di kawasannya di Pulau Tikus ini, beliau juga boleh memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat berkaitan cadangan pembangunan oleh Kerajaan Negeri.

 

“Sebelum inipun, beliau menggalas tanggungjawab untuk menjawab segala tentangan oleh badan-badan bukan kerajaan berkaitan pembangunan projek Penang South Island (PSI) dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP),” jelasnya.

 

GELAGAT yang sempat dirakam ketika siri jelajah ke DUN Pulau Tikus pada pagi ini.

Pada masa sama, Kon Yeow turut menyeru kepada semua pengundi termasuk di Pulau Tikus untuk terus memberi mandat dan peluang kepada semua calon Perpaduan yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15.

 

“Saya yakin, di Pulau Tikus, Sze Zeng akan meneliti dan menyusuli tindakan isu-isu yang dibangkitkan sekiranya beliau dipilih untuk menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di sini nanti,” jelasnya yang akan meneruskan siri jelajah ke semua kawasan Calon Perpaduan sebagai suntikan semangat dan sokongan kepada calon-calon yang bertanding.