T.Y.T gembira umat negeri cakna agama

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI BAKAP – Tuan Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas melahirkan rasa gembira kerana umat Islam di negeri berkenaan belakangan ini dilihat giat menghantar anak masing-masing ke sekolah-sekolah aliran agama.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Ihtifal Thanawi Sekolah- Sekolah Agama Kali Ke-15 Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Agama Islam (SMA) Ad-Diniah, Jalan Sungai Rambai di sini baru-baru ini.

“Kemasukan pelajar ke sekolah agama mengalami peningkatan dari tahun ke tahun.

“Keadaan ini menggambarkan betapa para ibu bapa amat prihatin dengan kepentingan pendidikan agama dan meletakkannya begitu tinggi kepada sekolah agama,” ujarnya di depan lebih 500 guru-guru dan murid-murid yang menyertai konvensyen itu.

Perkembangan itu, menurut beliau, mampu mengukuh lagi jati diri generasi muda dari anasir kejumudan, terutama dalam era globalisasi sekarang.

Sempena keraian itu, Abdul Rahman turut menyampaikan anugerah kepada pelajar sekolah agama negeri yang cemerlang bagi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Salah seorang penerima anugerah Pelajar Terbaik STAM, Nur Amirah Mohamad, 20, yang ditemui kemudian melahirkan rasa syukur dan terharu.

“Syukur kepada Allah sebab diberi kesempatan menerima anugerah ini… cukup terharu kerana dihargai,” ujar bekas pelajar madrasah Da’iratul Ma’arifil Wathoniah I (DNW I) dekat Kepala Batas di sini.

Dalam perkembangan sama, lebih lima pertandingan diadakan sempena ihtifal atau konvensyen kali ini. Pertandingan yang dimaksudkan, antaranya, tilawah al-Quran, hafazan al- Quran, pidato, karangan bahasa Arab dan dialog berbahasa Arab (hiwar). Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah SMA Ad-Diniah, Mustafa Shafie turut berucap pada konvensyen tersebut.

Hadir bersama, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Mohd. Salleh Man, Maktar Shapee (Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang Dipertua MAINPP), Datuk Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang, JAINPP).