Integriti mendekati tuntutan Islam – Mohd. Rashid

Admin

BUKIT GELUGORTuan Yang Di- Pertua (TYT), Tun Abdul Rahman Abbas menyempurnakan majlis perasmian bangunan baru Masjid At- Taqwa dekat Taman Tun Sardon di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Mohd. Rashid Hasnon berkata, Kerajaan Negeri akan terus memartabatkan kedudukan Islam di negeri berkenaan sebagaimana di jamin dalam Perlembagaan.

Ini kerana, katanya, budaya integrity yang diamalkan Kerajaan Negeri sebenarnya mendekati tuntutan Islam.

“Islam sangat menitikberatkan aspek amanah dan keikhlasan niat dalam melaksanakan satu-satu amalan.

“Tuntutan itu sebenarnya tidak jauh bezanya dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk melaksanakan tadbir urus berintegriti,” ujarnya di masjid tersebut baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim turut berucap pada majlis tersebut.

Mohd. Rashid berkata, komitmen Kerajaan Negeri dalam memartabatkan Islam antaranya adalah menyalurkan sumbangan penghargaan berjumlah RM469,400 kepada keseluruhan 980 Hafiz Al- Quran selama empat tahun bermula pada tahun 2008.

Difahamkan, mereka menerima sumbangan RM300 bagi tahun 2008, tetapi, ditingkatkan sehingga RM500 bermula pada tahun 2009 hingga sekarang (2012), iaitu sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh UMNO/BN semasa mentadbir Kerajaan Negeri.

Selain itu, difahamkan, RM30,900 disumbangkan kepada 103 hufaz al- Quran pada tahun 2008, diikuti RM68,500 (137, 2009), RM90,000 (180, 2010), RM130,000 (260, 2011) dan RM150,000 (300, 2012).

“Bersesuaian dengan nama masjid ini, diharap, bangunan baru masjid ini pun didirikan serta diimarahkan atas dasar takwa juga, InshaAllah,” ujar Mohd. Rashid.