Tabung Usahawan Tani bantu usahawan kecil kembangkan perniagaan

Admin

DALAM usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri keusahawanan, Kerajaan Negeri bertindak menubuhkan Tabung Usahawan Tani (TUT) yang menyediakan pinjaman mikro kredit tanpa faedah pada tahun 2015.

Melalui TUT, usahawan muda yang berusia bawah 40 tahun layak meminjam maksimum RM6,000 manakala usahawan berusia lebih 40 tahun pula (RM5,000) dengan had umur diperluaskan sehingga 60 tahun.

Sehingga Mac tahun ini, seramai 144 usahawan dalam sektor pertanian di negeri ini telah menerima manfaat daripada skim pinjaman tersebut dengan peruntukan berjumlah RM980,000 oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Roti kukus istimewa

Pengusaha roti kukus di bawah jenama Yada Rieyta Enterprise, ROZITA MOHAMAD, 44, antara yang menerima manfaat daripada program tersebut selepas dua kali layak menerima pinjaman masing-masing berjumlah RM5,000 pada 2017 dan RM10,000 (2020).

Rozita Mohamad.
Roti kukus yang dihasilkan bersama sos kastard.
Premis perniagaan Yada Rieyta dekat Permatang Pauh.

Ketika ditemui Buletin Mutiara sempena wawancara khas baru-baru ini, Rozita memberitahu bahawa beliau memulakan perniagaan roti kukus pada tahun 2015 secara kecil-kecilan dengan modal permulaan sebanyak RM1,000.

Kemudian pada tahun 2017, beliau mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan tersebut secara serius selepas terpaksa berhenti kerja akibat masalah kesihatan yang dihidapinya.

“Pada masa itu, sayaberdepan masalah kekurangan untuk mengembangkan perniagaan sehinggalah saya diperkenalkan dengan program TUT oleh Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

“Saya bersyukur kerana permohonan saya diterima dan layak menerima pinjaman buat kali pertama berjumlah RM5,000 pada tahun 2017.

“Wang itu saya gunakan untuk membeli peralatan yang diperlukan dalam pemprosesan roti kukus seperti pembakar, pengadun berprestasi tinggi, pengukus elektrik serta beberapa lagi keperluan lain untuk memulakan perniagaan,” ujarnya.

Rozita berkata, selepas berjaya melangsaikan pinjaman TUT yang pertama, beliau kemudiannya membuat permohonan pinjaman kali kedua pada penghujung tahun 2018 dengan matlamat untuk meningkatkan lagi produktiviti perniagaannya.

“Saya berjaya mendapat pinjaman sebanyak RM10,000 pada Disember 2020 yang mana saya gunakan wang ini untuk membina bengkel perniagaan selain mempelbagaikan lagi produk jualan seperti kek dan biskut raya.

“Alhamdulillah… dengan kelengkapan yang ada sekarang, saya mampu hasilkan 500 paket roti kukus dan berjaya memperoleh pendapatan kasar kira-kira RM8,000 setiap bulan.

 

“(Dan) sepanjang bulan Ramadan baru-baru ini, saya berjaya memperoleh hasil yang agak lumayan daripada jualan lapan jenis biskut raya yang dipasarkan di bawah jenama Yada Rieyta,” jelasnya lanjut.

Ditanya mengenai keistimewaan produk jualannya, Rozita menyatakan bahawa roti kukus keluaran Yada Rieyta mempunyai sedikit kelainan kerana dihidangkan bersama dengan sos kastard yang dihasilkan khas menggunakan resipi sendiri.

“Biasanya roti kukus dimakan bersama dengan ‘sekaya pandan’ sebagai pencicah tetapisaya   hasilkan sos kastard hanya sekadar untuk mencuba sahaja tetapi tidak sangka pula iamendapat sambutan yang sangat baik.

“Sekarang boleh dikatakan hampir semua pelanggan yang memesan roti kukus mahukan sos kastard sebagai pelengkap berbanding ‘sekaya’ sebagaimana lazimnya dijual oleh kebanyakan peniaga,” ujarnya sambil menambah bahawa perkhidmatan penghantaran turut disediakan kepada pelanggan yang memesan produk jualannya secara dalam talian.

Tambah beliau, produk jualannya bukan sahaja mendapat permintaan di Pulau Pinang, malah pelanggan juga datang dari pelbagai negeri seperti Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.

“Buat masa ini, saya masih tidak dapat pasarkan produk jualan di Sabah dan Sarawak atas faktor masa penghantaran kerana sos kastard tidak mampu bertahan lama.

“Saya juga mempunyai ejen-ejen di hampir semua negeri di bahagian semenanjung terutamanya di wilayah utara,” ulasnya.

Berikutan permintaan terhadap produknya yang semakin bertambah, Rozita menyatakan bahawa beliau kini sedang berusaha untuk membeli peralatan yang lebih besar bagi meningkatkan lagi produktiviti.

“Sekiranya ada rezeki, saya merancang untuk membeli pengadun lebih besar supaya lebih banyak tepung mampu diadun dalam satu-satu masa berbanding hanya 7 kilogram sahaja sekarang ini.

“Saya juga mahu membeli pengukus elektrik bagi memudahkan pekerja kerana pengukus yang ada sekarang perlu dikendalikan secara manual dan memakan masa agak lama,” katanya yang dibantu oleh empat orang tenaga kerja.

Bagi yang merminat untuk mendapatkan produk makanan di bawah jenama Yada Rieyta boleh hubungi talian 018-461 3780 atau layari laman Facebook Yada Rieyta.

Perkhidmatan mencuci bot nelayan

ZOLKEPLI HUSSAIN,58, membuat keputusan untuk memohon pinjaman TUT selepas bengkel membaiki dan mencuci vesel ataupun bot nelayan yang diusahakan beliau terbakar kira-kira empat tahun lalu.

Zolkepli Hussain.

 

Proses menaikkan bot nelayan untuk dibersihkan.
Sedang mengendalikan mesin untuk menaikkan bot ke galangan.

“Apabila bengkel membaiki bot terbakar, saya cuba memohon bantuan kewangan daripada Pejabat Perikanan Negeri Pulau Pinang tetapi mereka sarankan saya untuk memohon pinjaman daripada Kerajaan Negeri.

“Selepas lebih enam bulan membuat permohonan, saya berjaya memperoleh RM5,000 yang mana saya gunakan untuk membaik pulih bengkel dan menambah beberapa peralatan yang diperlukan.

“Ini merupakan pinjaman pertama yang saya buat sejak menjalankan perniagaan ini lebih

30 tahun lalu,” jelasnya ketika ditemui di premis perniagaannya dekat Kampung Bakau Tua, Penaga baru-baru ini.

Zolkepli memberitahu bahawa beliau kini sedang menunggu kelulusan bagi permohonan pinjaman TUT kali kedua berjumlah RM10,000 selepas pinjaman pertama berjaya diselesaikan akhir tahun lepas.

“Saya sangat-sangat memerlukan sumber kewangan untuk membina satu lagi ‘slipway’ (galangan) mini dan membeli mesin penembak air khusus untuk mencuci bot nelayan berharga kira-kira RM2,800 seunit.

“Galangan yang ada sekarang ini tidak mampu menampung bilangan bot nelayan yang tidak putus-putus datang untuk mendapatkan perkhidmatan pembersihan.

“Sebenarnya, saya masih memerlukan RM20,000 tetapi saya dimaklumkan oleh pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bahawa pinjaman kali kedua hanya maksimum RM10,000 sahaja.

“Namun bagi saya jumlah itu memadai untuk membantu saya membina fasiliti baru ini,” ujarnya sambil menambah bahawa beliau merupakan satu-satunya pengusaha perkhidmatan pembersihan bot yang ada di negeri ini ketika ini.

Tambah Zolkepli, setiap hari, beliau hanya dapat mencuci satu atau dua buah bot nelayan sahaja dengan bayaran yang dikenakan sebanyak RM80 hingga RM150 bergantung kepada saiz dan jenis enjin.

“Pelanggan saya bukan sahaja datang dari Seberang Perai tetapi juga dari bahagian pulau seperti Batu Ferringhi dan Teluk Bahang… paling jauh setakat ini adalah dari Yan serta Tanjong Dawai, Kedah.

“Kerja-kerja membersih bot pula hanya boleh dilakukan ketika air laut pasang kerana semasa air surut bot tidak boleh dinaikkan ke galangan,” ulasnya.

Galangan atau ‘slipway’ ini digunakan untuk membolehkan nelayan menjalankan proses penyelenggaraan vesel dengan mudah serta lancar.

Difahamkan, setiap galangan perlu dilengkapi dengan rel untuk memudahkan bot ditarik ke daratan, dan operasinya pula hanya memerlukan faktor pasang surut air laut tanpa perlu dibawa ke ‘shipyard’ yang memerlukan kos yang tinggi.

Garam belacan Mdm Zie’s makin popular

Seorang lagi penerima, FUZIYAH MAN, 42, yang merupakan pengusaha produk garam belacan menyatakan bahawa pinjaman TUT sangat membantu usahawan kecil yang memerlukan modal untuk mengembangkan lagi perniagaan masing-masing.

Fuziyah Man.
Antara produk yang dipasarkan di bawah jenama Mdm Zie’s.
Salah satu penghargaan yang pernah diterima.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Fuziyah berkata bahawa beliau bermula dengan hanya sekadar suka-suka pada tahun 2017.

Bengkel untuk menghasilkan produk.

Namun kata beliau, kini perniagaan garam belacan yang diusahakannya di bawah jenama Mdm Zie’s telah berjaya dipasarkan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

“Saya buat keputusan untuk menjalankan perniagaan garam belacan kerana produk ini sangat sukar untuk diperoleh di pasaran dan belum ada mana-mana pengusaha yang mengkomersialkannya.

“Pada mulanya, pelanggan saya hanya terdiri daripada rakan-rakan terdekat sahaja tetapi permintaan semakin bertambah selepas saya mempromosikan produk garam belacan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Dari situlah saya mula menjalankan perniagaan garam belacan secara lebih serius,” katanya yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah dekat Bandar Perda, Bukit Mertajam ketika ditemui Buletin Mutiara sempena wawancara khas baru-baru ini.

Fuziyah memberitahu bahawa beliau menerima pinjaman TUT kali pertama berjumlah RM6,000 pada tahun 2017, dan kali kedua berjumlah RM10,000 pada tahun 2020 untuk mengembangkan lagi perniagaan garam belacannya.

“Pinjaman pertama saya gunakan bagi menampung kos pembungkusan yang mana pada masa itu saya gunakan jenama Cikgu Zie sebelum ditukar kepada Mdm Zie’s untuk lebih komersial.

“Pada tahun 2020, saya mendapat bantuan geran daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membina bengkel sebagai tempat pemprosesan produk tetapi dengan syarat 30 peratus daripada kos pembinaan itu perlu ditanggung oleh usahawan sendiri.

“Jadi, bagi menampung kos 30 peratus itulah saya buat keputusan memohon pinjaman TUT sekali lagi berjumlah RM10,000 untuk menyiapkan bengkel yang memenuhi spesifikasi pensijilan halal,” jelasnya lanjut.

Mengulas mengenai produk jualan Mdm Zie’s, Fuziyah menyatakan bahawa produk makanan garam belacan yang dipasarkan ketika ini mengandungi empat perisa iaitu masam manis, pedas dan original bagi memenuhi cita rasa pelanggan yang berbeza.

“Ada juga pelanggan yang keliru di antara kuah rojak dengan garam belacan… oleh itu, saya juga hasilkan kuah rojak untuk membantu pelanggan membezakan kedua-dua produk ini.

“Produk garam belacan keluaran Mdm Zie’s juga menggunakan pembungkusan yang lebih mesra pengguna dan mudah untuk dibawa ke mana-mana,” katanya sambil menambah bahawa produk jualannya turut dipasarkan secara dalam talian melalui platform Shopee.

Ditanya tentang perancangan masa depan, Fuziyah memberitahu bahawa beliau kini sedang berusaha untuk memperoleh pensijilan halal dan Sijil Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) bagi semua produk jualannya.

“Langkah ini bagi membolehkan produk Mdm Zie’s dipasarkan secara lebih meluas termasuk di beberapa pasar raya besar seperti Mydin,” katanya.

Produk garam belacan Mdm Zie’s boleh didapati di Bangunan Wakaf Seetee Aisah dekat Seberang Jaya atau melalui platform Shopee.

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi 019-567 7792 atau layari laman Facebook dan Instagram (Garam Belacan Cikgu Zie HQ).

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD & AHMAD ADIL MUHAMAD