Tahniah “Harimau Muda” – Guan Eng

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng merakamkan ucapan tahniah kepada “Harimau Muda”, iaitu pasukan bola sepak negara bawah 23 tahun atas kejayaan meraih emas dalam Sukan SEA 2011.

Beliau turut merakamkan penghargaan khusus kepada ketua jurulatih negara, Ong Kim Swee kerana berjaya mengekalkan rekod pingat emas yang pernah dimenangi oleh pasukan jurulatih, Datuk K.Rajagopal tahun lepas.

“Ini juga kali pertama Malaysia telah mencapai kejayaan berturut-turut dalam sejarah Sukan SEA,” ujar beliau.

Bagi beliau, debaran pada detik penalti oleh pasukan negara menentang “Garuda” Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno cukup mendebarkan.

“Walaupun dihadapi dengan situasi yang sangat mencabar, pasukan Harimau Muda tetap berjaya mengatasi pasukan tuan rumah. Ini menunjukkan bahawa rahsia kejayaan merupakan kegigihan dan ketekunan,”  ujarnya.

Pada perlawanan akhir Sukan SEA baru-baru ini, Harimau Muda menundukkan Garuda dengan 5-4 melalui penalti selepas kedua-duanya terikat 1-1 sehingga 30 minit masa tambahan.