Laluan basikal tarikan baru Balik Pulau

ABDUL Halim Hussain (enam dari kiri) menunjukkan papan tanda laluan Balik Pulau Eco Bike Trail yang disediakan oleh MPPP sebagai petunjuk arah kepada pengayuh basikal.
ABDUL Halim Hussain (enam dari kiri) menunjukkan
papan tanda laluan Balik Pulau Eco Bike Trail yang
disediakan oleh MPPP sebagai petunjuk arah kepada
pengayuh basikal.

BALIK PULAU – Bagi membolehkan peminat sukan berbasikal di negeri ini beriadah dengan lebih selesa dan mengurangkan risiko kemalangan, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif khas dengan memasang 51 papan tanda di sepanjang trek laluan basikal, Balik Pulau Eco Bike Trail.

Balik Pulau Eco Bike Trail yang julung kali disediakan tersebut adalah meliputi laluan sepanjang 20 kilometer di Balik Pulau dan kos pemasangan papan tanda adalah berjumlah RM30,000 di bawah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Abdul Halim Hussain dan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar dan Desa, Perumahan dan Kesenian, Wong Hon Wai telah menyempurnakan majlis perasmian laluan berkenaan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Rekreasi, Pelancongan dan Perhubungan Antarabangsa MPPP, Mohamed Akhbar
Mustapha, Ahli Majlis MPPP, Gooi Seong Kin dan ADUN Sungai Pinang, Koid Teng Guan.

Dalam pada itu, Hon Wai berkata, laluan tersebut akan memberikan pengalaman menarik kepada pengayuh apabila mereka bakal merentasi pemandangan menarik seperti sawah padi, ladang kelapa, sungai dan juga kampung nelayan.

“Kita percaya laluan ini akan menjadi tarikan kawasan pelancongan yang unik di negeri ini pada masa akan datang,” ujarnya dengan harapan persatuan-persatuan hotel dan pelancongan di negeri ini dapat mempromosikan lagi laluan berbasikal ini.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut mengulas bahawa beliau juga mencadangkan agar pihak MPPP menyediakan kawasan rehat kepada penunggang dan memasang lampu di beberapa kawasan demi keselamatan mereka (penunggang).

“Menjelang 2015, diharapkan Pulau Pinang mempunyai trek laluan berbasikal terbaik di negara ini dan menjadi salah satu produk pelancongan kelak,” ujarnya.