Tak salah solat sunat Aidiladha diadakan lebih satu sesi – Mufti Pulau Pinang

Admin
Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

GEORGE TOWN – Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato’ Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor hari ini memberitahu bahawa tidak menjadi kesalahan sekiranya masjid-masjid kariah mahu menganjurkan lebih daripada satu sesi solat sunat Aidiladha, dengan syarat dipimpin oleh imam serta khatib yang berbeza serta mengikut kaifiat (tertib) solat sedia ada lain.

‘Irsyad (panduan) hukum itu, menurut Wan Salim, mengambil kira jangkaan pelbagai pihak berhubung lambakan muslimin dan muslimat berkunjung ke masjid serta surau (yang dibenarkan membuat Solat Jumaat) bagi menunaikan solat sunat Aidiladha nanti, walaupun Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) telah mengeluarkan pekeliling Sambutan Hari Raya Aidiladha Tahun 1441H/2020M Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini.

“(Solat sunat) Aidiladha boleh dibuat di banyak tempat, bukan seperti solat Jumaat…dalam satu-satu kariah tak boleh lebih daripada satu (sesi) solat fardu Jumaat.

“Tapi, solat sunat Aidiladha boleh dibuat di rumah…di masjid pun buat satu sesi sahaja, tetapi, tidak menjadi kesalahan kalau nak buat banyak sesi pun (dengan syarat) imam dan khatib yang berbeza,” jelasnya ketika dihubungi wartawan Buletin Mutiara pada 17 Julai 2020.

Menurutnya lagi, pentadbir masjid dan surau yang mahu melaksanakan ibadah solat sunat Aidiladha satu sesi sahaja turut dibenarkan untuk membuka khemah atau kawasan tambahan, asalkan dalam kawasan yang dibenarkan serta selamat mengikut tatacara operasi standard (SOP) PKPP sedia ada.

Justeru, beliau mengingatkan kepada mereka yang mahu menunaikan solat sunat Aidiladha supaya senantiasa memakai pelitup muka, berwuduk sebelum meninggalkan rumah serta membawa sejadah masing-masing ke masjid.

Di samping itu, beliau berkata bahawa sebelum ini pihaknya mengambil keputusan untuk tidak melaksanakan solat Jumaat dua sesi sebagaimana dicadangkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) adalah bersebab.

“Di Pulau Pinang, kita tidak ada cadangan untuk buat dua sesi (solat fardu Jumaat) sebab tiada keperluan sebenarnya seperti di (negara-negara minoriti umat Islam di) sebelah Barat, daripada segi sumber kewangan umat Islam di sana adalah tidak kukuh untuk mereka menyewa ruang dewan atau gereja dan sebagainya yang lebih luas, maka mereka terpaksa buat banyak sesi (solat fardu Jumaat).

“Kalau ikut (mazhab) Shafie, memang tak boleh buat (dua sesi solat fardu Jumaat) dalam satu kariah.

“Perkara kedua, surau-surau yang (dibenarkan) buat solat (fardu) Jumaat, kita (JHEAIPP) benarkan lagi (buat solat fardu Jumaat ikut SOP) walaupun dalam satu kariah,” respons beliau sambil meminta semua jawatankuasa kariah masjid-masjid di negeri ini supaya merujuk pada pekeliling berwajib yang telah dikeluarkan oleh JHEAIPP pada 22 Jun 2020.

Mengikut pekeliling tersebut, JHEAIPP antara lain mengarahkan jemaah berusia kurang daripada 15 tahun tidak dibenarkan menyertai solat sunat Aidiladha di masjid.

Selain itu, menurut pekeliling itu lagi, keutamaan jemaah adalah yang berusia 15 tahun hingga 70 tahun.

“Jemaah berusia 71 tahun dan ke atas yang sihat boleh hadir untuk solat sunat Hari Raya Aidiladha, tetapi tidak digalakkan.

“Jemaah yang hadir hendaklah tidak mempunyai sebarang gejala COVID-19 seperti demam, batuk dan selesema,” jelas sumber.

 

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD