Taman Kejiranan Kampung Shaik Madar penuhi keperluan rekreasi dan riadah penduduk – ADUN

ANTARA konsep kebun kejiranan yang unik di Taman Kejiranan Kampung Shaik Madar.

 

AIR ITAM – Taman Kejiranan Shaik Madar, Air Itam dilihat mampu memenuhi keperluan dan kehendak rekreasi serta riadah penduduk sekitar kawasan di sini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Joseph Ng Soon Siang berkata, ia merupakan projek yang baik, selain tujuan rekreasi, Taman Kejiranan Kampung Shaik Madar begitu unik berikutan terdapat projek kebun kejiranan.

Saya berhasrat menjadikan kebun kejiranan ini satu agenda di George Town, melalui kebun kejiranan di sini ianya boleh dijadikan contoh kepada seluruh negeri,” ujarnya sambil menzahirkan hasrat untuk memasang lampu di taman berkenaan pada tahun hadapan dalam menggalakkan kemudahan sukan pada waktu malam.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang, Setiausaha MBPP, Ir. Addnan Mohd. Razali, wakil Penang Natural Green Organisation (PNGO), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat dan rombongan Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Taman Kejiranan Kampung Shaik Madar adalah hasil kerjasama di antara MBPP dengan beberapa pihak berkepentingan iaitu PNGO, JKKK Kampung Shaik Madar dan pejabat kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam.

 

Menurut Tung Seang, selaras dengan visi Kerajaan Negeri ke arah menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, maka pada tahun 2018 MBPP telah menaiktaraf lima Taman Kejiranan sebagai Taman Riadah dan Rekreasi Awam untuk kegunaan penduduk sekitar Pulau Pinang.

Salah satu daripadanya adalah Taman Kejiranan Kampung Shaik Madar dengan kos pembinaan RM132,536.66.

 

Antara penambahbaikan yang telah dijalankan adalah kerja meratakan tanah dan penanaman rumput, membina laluan pejalan kaki, membina dataran serbaguna, menggantikan alat permainan serta mengecat dataran dan membina pagar,” ujarnya ketika berucap Sempena Majlis Perasmian Taman Kejiranan Kampung Shaik Madar, pagi tadi.

 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: DARWINA MOHD. DAUD