Jangan buat janji baru jika yang dijanjikan sebelum ini belum ditepati – respons Exco

Admin

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menasihati pimpinan Barisan Nasional (BN) agar tidak membuat sebarang janji baharu sekiranya projek perumahan 9,999 unit yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umun Ke-13 (PRU13) lalu masih belum ditepati.

Malah, beliau juga menasihati mereka (BN) lain agar tidak hanya pandai cakap sahaja, sebaliknya membuktikan bahawa mereka bersungguh-sungguh mahu membantu rakyat dalam menyediakan stok perumahan bagi kos rendah, sederhana rendah dan rumah mampu milik (RMM).

“Saya cabar pimpinan BN tunjuk mana RMM untuk rakyat Pulau Pinang. Kita sekarang ada dalam bangunan (projek RMM The Rise) dan hujung tahun ini projek ini akan siap.

“Sebelum ini BN cakap kita tak bina rumah, namun sejak tahun 2008, kita (Kerajaan Negeri) sediakan lebih 25,555 unit RMM, kos rendah dan sederhana rendah bagi rakyat Pulau Pinang. Lima kali ganda berbanding BN sediakan dari tahun 1999 hingga 2007,” katanya ketika melakukan lawatan kerja ke tapak Projek The Rise dekat Jalan SP Chelliah di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Syarikat Pembinaan Zubicon Sdn. Bhd., Lim Beng Keong selaku pemaju dilantik melalui tender terbuka.

Jagdeep pada lawatan tersebut turut mengulangi bahawa Kerajaan Negeri kekal komited untuk mengekalkan harga siling rumah kos rendah pada harga RM42,000 dan kos sederhana rendah, RM72,500.

“Jika RM42,000 dan RM72,500 pun masih ramai rakyat yang tidak layak membuat pinjaman bank macam mana Kerajaan Pusat cadangkan rumah kos rendah boleh dinaikkan hingga RM60,000 dan kos sederhana rendah jadi RM100,00?

“Justeru, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang nekad mengekalkan harga bagi kedua-dua skim tersebut demi kemudahan rakyat,” ujarnya.

Difahamkan, projek The Rise adalah merangkumi 770 unit rumah kos sederhana rendah serta 1,323 unit RMM dan kini 76 peratus siap mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada awal tahun 2019.