Taman tema di Pulau Jerejak, TIRSB belum kemuka Permohonan Kebenaran Merancang kepada PBT – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Sebuah taman tema bakal dibangunkan Tropical Island Resort Sdn. Bhd. (TIRSB) dekat Pulau Jerejak di bawah pelan induk projek pembangunan bercampur yang diluluskan Kerajaan Negeri pada 30 Ogos 2016.

Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada sesi perbahasan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di sini sebentar tadi.

“Berdasarkan kepada pelan induk yang diluluskan dalam projek tersebut, pihak TIRSB bercadang membangunkan taman tema di bahagian selatan Pulau Jerejak.

“Walau bagaimanapun, TIRSB belum mengemukakan Permohonan Kebenaran Merancang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi cadangan tersebut,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Laporan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi cadangan pembangunan bercampur serta pembinaan sebuah jambatan baru untuk menghubungkan Pulau Jerejak dengan bahagian pulau telah dikemukakan oleh TIRSB.

“Laporan EIA telah dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 21 Jun lalu untuk pertimbangan dan kelulusan.

“Kajian impak kepada sistem ekologi juga diambil kira dan dimasukkan dalam laporan berkenaan yang telah diluluskan oleh pihak JAS pada 20 Julai 2018,” jelasnya sebagai menjawab soalan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD