Taman Trafik pertama Seberang Perai lokasi pendidikan keselamatan jalan raya kanak-kanak

Admin

BAGAN JERMAL – Taman Trafik yang diwujudkan dekat Taman Dahlia merupakan yang pertama di bahagian Seberang Perai.

 


Taman yang dirancang sejak tahun 2020 dengan nilai RM83,350 dirasmikan oleh Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini sebentar tadi.

 

 

Menurut beliau, projek Taman Trafik pertama berkaitan dibentangkan dalam mesyuarat Lembaga Perbadanan Stadium Dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) pada tahun 2020, dan sebulat suara telah memperoleh persetujuan semua Ahli Mesyuarat

 

 

“Saya yakin taman ini akan menjadi sebuah taman poket berkonsepkan trafik dan bakal memanfaatkan golongan kanak-kanak khasnya supaya lebih memahami syarat-syarat keselamatan jalan raya demi keselamatan mereka.

 

 

“Dalam pada itu, selain Taman Areca (Sungai Pinang) dan Taman Trafik Taman Dahlia ini, PSDKLPP juga dalam usaha untuk meyempurnakan sebuah lagi taman di daerah Seberang Perai Tengah iaitu Taman Rimba WoodHAVEN.

 

 

“Saya difahamkan bahawa Taman Rimba WoodHAVEN ini akan mengabungkan ciri-ciri suasana sebuah rimba bandar yang sesuai untuk perkhemahan dan program rekreasi berkeluarga,” ujarnya pada majlis berkenaan.

 

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Azhar Arshad dan Pengarah Urusan RK Taksago Chain South Asia, Datuk Lee Thian Chai.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow  yakin bahawa PSDKLPP akan terus membangunkan atau menaik taraf lebih banyak kawasan lapang di Pulau Pinang dengan konsep taman yang dinamik demi mencapai matlamat mewujudkan suasana kehidupan lebih ceria serta aktif dalam kalangan rakyat.

 

 

“Ini adalah selaras dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ulasnya lanjut.

 

 

Dalam pada itu, Lip Chee memaklumkan bahawa antara skop projek di Taman Trafik, Taman Dahlia adalah laluan pejalan kaki, papan-papan tanda jalan raya, bonggol, bulatan, pokok-pokok renek dan arca berkaitan keselamatan jalan raya.

 

“Saya berharap, selain menjadi kawasan rekreasi, taman ini juga mampu menjadi sebuah lokasi pendidikan kepada kanak-kanak untuk mula mengenali isyarat-isyarat jalan raya.

 

 

“Saya dengan ini juga merakamkan ucapan terima kasih kepada PSDKLPP kerana memilih Bagan Jermal sebagai projek Taman Trafik pertama di Seberang Perai ini,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

 

 

Bersempena perasmian tersebut, syarikat RK Takasago Chain South Asia telah menyumbangkan 20 buah basikal kanak-kanak untuk kegunaan pengunjung di situ.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS