Taman Tunku – projek CSR MPSP

Admin
KEHIJAUAN yang dapat dilihat di Taman Tunku yang telah dinaiktaraf di sini barubaru ini.
KEHIJAUAN yang dapat dilihat di Taman Tunku yang telah dinaiktaraf di sini baru-baru ini.

Oleh: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

SEBERANG JAYASelaras dengan hasrat menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bersih, hijau, selamat dan sihat, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melalui program tanggungjawab sosialnya (CSR) telah mengambil inisiatif khas menaiktaraf Taman Tunku yang terletak berhampiran Masjid Jamek Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

Inisiatif tersebut adalah hasil tajaan ahli-ahli REHDA yang terdiri daripada Airmas Group of Companies, IJM Land Berhad, New Bob Group, Sunway City (Penang) Sdn. Bhd. dan Tambun Indah Land Berhad).

Turut tersenarai adalah ahli-ahli SPEAD (Institution Of Surveyors Malaysia, Planners, Engineers, Architects, Developers) serta beberapa pihak yang telah menyumbang sejumlah RM470 ribu untuk projek berkenaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, proses menaiktaraf taman seluas 11.73 ekar tersebut mengambil masa tiga setengah bulan bermula 17 Mac dan siap sepenuhnya pada 31 Jun lalu.

“Pelaksanaan program tersebut adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri, malah, pada masa sama, kita (Kerajaan Negeri) mahukan Pulau Pinang mempunyai kawasan-kawasan yang berlandskap menarik serta cantik,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Taman Tunku di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Laut dan Keretapi), Lim Hock Seng, Yang diPertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Perbandaran MPSP, Rozali Mohamud dan isteri kepada Ketua Menteri, Betty Chew.

Taman Tunku sebelum ini telah dibuka dengan rasminya oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika sambutan Hari Kebangsaan Ke-30 pada 31 Ogos 1987.

Guan Eng dalam pada itu memohon kepada semua pihak supaya meuar-uarkan kepada badan-badan korporat lain untuk turut menjadikan kawasan-kawasan lain sebagai projek angkat bagi pelaksanaan CSR MPSP tersebut dengan tema ‘Jalinan Semulajadi antara Manusia dan Alam Sekitar’.

Menurut Kon Yeow, Taman Tunku yang dinaiktaraf kini dilengkapi dengan 0.9 kilometer trek joging dan laluan berbasikal; satu unit gazebo baru; bangku rehat (35 unit); lampu taman (7 unit), penanaman pokok teduhan (140 batang), membaiki tempat letak motosikal serta pemasangan papan-papan tanda (2 unit).

“MPSP turut menyumbang sebanyak 100 batang pokok Pinang serta pokok pelbagai spesies (100 batang) yang bernilai RM4,000 secara keseluruhan,’’ jelas beliau.