Jln. Gottlieb & Jln. Bagan Jermal siap dinaiktaraf

Admin

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNSebagai usaha mengurangkan masalah kesesakan lalulintas di sini, inisiatif melebarkan Jalan Gottlieb dan Jalan Bagan Jermal dengan tambahan satu laluan (lorong) oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sejak November tahun lalu telah siap sepenuhnya.

Selain pelebaran jalan, turut dinaiktaraf adalah laluan pejalan kaki, mewujudkan laluan basikal, lampu jalan, memasang lintasan pejalan kaki serta membina pondokpondok perhentian bas yang baru.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, sebanyak RM3.45 juta diperuntukan untuk projek menaiktaraf Jalan Gottlieb dan Jalan Bagan Jermal di kawasan Kebun Bunga di sini.

“Inisiatif tersebut adalah lanjutan daripada kajian meneliti alternative bagi mengurangkan kesesakan lalulintas di George Town dengan penumpuan kepada jalan-jalan tempatan yang bertindak sebagai jalan lingkaran luar George Town termasuk kedua-dua jalan dinyatakan.

“Tindakan awal perlu diambil untuk menangani masalah lalulintas di Pulau Pinang kerana pertumbuhan kenderaan adalah melebihi 6 peratus setahun dan ini (situasi) memerlukan penaiktarafan infrastruktur sedia ada,” ujarnya ketika ucaptama Majlis Pelancaran Projek Menaiktaraf Jalan Gottlieb dan Jalan Bagan Jermal di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng, Yang Dipertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Koay Teng Hai.

Tambah Guan Eng, bagi fasa pertama, sebanyak RM28 juta diperuntukan, di mana RM21 juta daripadanya telah dimulakan dengan kerja-kerja penaiktarafan dan baki, RM7 juta masih di dalam perancangan tender.

Selain itu, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri turut merancang untuk melebarkan jalan, membina jejambat, jalan-jalan alternatif dan pusingan ‘U’ bertingkat di Jalan Tanjong Tokong, Jalan Paya Terubong, Jalan Dato’ Ismail Hashim, Jalan Bukit Gambir dan Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu untuk tujuan sama.

“Kerajaan Negeri juga terdesak untuk membina infrastruktur utama seperti bypass dan jalan berkembar bagi mengurangkan kesesakan dan membolehkan perkhidmatan pengangkutan awam berfungsi dengan lebih berkesan.

“Draf Akhir Laporan Kajian Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan Study Draft Final Report) dijangka siap dalam tempoh terdekat. Kajian ini telah disediakan untuk mewujudkan sistem pengangkutan yang berintergrasi dan mampan dengan mengambil kira pandangan orang ramai,” jelasnya.

PARA penghuni Rumah St. Nicholas’s cuba menggunakan laluan dan lintasan pejalan kaki yang telah siap dinaiktaraf di Jalan Gottlieb dan Jalan Bagan Jermal pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.
PARA penghuni Rumah St. Nicholas’s cuba menggunakan laluan dan lintasan pejalan kaki yang telah siap dinaiktaraf di Jalan Gottlieb dan Jalan Bagan Jermal pada majlis pelancarannya di sini baru-baru ini.