Taman Upcycle pertama dalam negara, lokasi rekreasi baru penduduk setempat

SEBERANG JAYA – Hasil kreativiti kakitangan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), sebuah taman berkonsepkan upcycle (menggunakan barangan terbuang) pertama di Malaysia berjaya direalisasikan bersebelahan Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini.

Majlis perasmian lokasi berkeluasan 9,684.5 meter persegi tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng baru-baru ini.

Beliau ketika berucap menzahirkan rasa tahniah kepada Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud kerana berjaya mengubah kolam takungan kepada sebuah taman rekreasi cantik dengan peralatan yang dihasilkan adalah daripada barangan terbuang seperti tayar, kayu palet, botol plastik dan sebagainya.

“Segala projek ini dibuat tanpa kos dan percuma kerana menggunakan bahan kitar semula, tahniah semua!

“Taman rekreasi dinamakan Upcycle mempunyai keunikan yang dibina daripada idea, tenaga dan titisan peluh pekerja MPSP tanpa menggunakan perbelanjaan kecuali kos marginal kecil untuk cat, batu serta simen.

“Anggaplah setiap kemudahan yang disediakan Kerajaan Negeri ini sebagai aset atau harta kita bersama dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri hijau pertama dalam negara,” ucapnya pada Majlis Perasmian Upcycle Park MPSP.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Setiausaha Perbandaran MPSP, Ir. Rosnani Mahmod dan Ahli-ahli Majlis bagi MPSP.

Dalam pada itu, Rozali memaklumkan, antara komponen yang disediakan di taman tersebut termasuk laluan pejalan kaki didekorasi sejauh 400 meter, plaza/dataran kejat menggunakan interlocking pavers, bangku diperbuat daripada tayar, batang kayu serta kayu palet dan mini jeti yang diperbuat daripada batang pokok.

“Komponen lain termasuk alat permainan rosak dijadikan barangan hiasan pokok bunga, arca daripada botol plastik, angklung buluh, pusat informasi daripada telefon awam terpakai dan kemudahan mengutip sampah menggunakan basikal terapung,’’ jelasnya.

Difahamkan, kemudahan taman tersebut dijangka memberi manfaat untuk aktiviti riadah kepada 25,000 penduduk sekitar Bandar Perda.