Pembekalan rumah, Kerajaan Negeri berorientasikan tindakan – KM

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu bahawa pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini adalah berorientasikan tindakan, bukan sekadar menabur janji politik sebagaimana amalan Kerajaan Barisan Nasional (BN) Pusat menjelang musim Pilihan Raya Umum Ke14 (PRU14).

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa pentadbirannya telah membekalkan sejumlah 24,227 unit kediaman kos rendah (KR) dan kos sederhana rendah (KSR) dalam tempoh tahun 2008 hingga 2017, untuk rakyat di negeri ini.

Walhal tambahnya, Kerajaan Pusat sehingga kini didapati seakan masih gagal membina walau seunit pun unit Rumah Mampu Milik (RMM) melalui Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) di negeri ini.

“Kami memenuhi apa yang kami janjikan kerana kami adalah kerajaan berorientasikan tindakan.

“Kerajaan Pulau Pinang kini telah membekalkan 24,227 unit kos sederhana rendah dan sederhana kepada rakyat dari 2008 hingga 2017.

“Ini adalah lima kali ganda berbanding dengan 5,154 unit projek perumahan kos sederhana rendah dan rendah yang sebelum ini dibina oleh Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) di Pulau Pinang (dari tahun 1999 hingga 2007),” jelasnya pada Majlis Topping Projek Perumahan Mampu Milik One Foresta di Lengkok Kelicap di sini 17 Mac lalu.

Menurut Guan Eng, sejak 2008, sebanyak 74,161 unit rumah mampu milik antara harga RM42,000 hingga RM300,000 seunit telah dibina, dalam proses pembinaan atau telah diluluskan untuk dibina di Pulau Pinang.

Menurutnya, projek perumahan One Foresta tersebut yang terdiri oleh 1,343 unit kediaman berkeluasan 900 kaki persegi dijangka siap pada Disember ini.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Exco Kebajikan, Masyarakat, Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim antara pemimpin kerajaan yang menyertai majlis tersebut.