Tambah baik Astaka Taman Tun Sardon demi keselesaan pengunjung

Admin

SERI DELIMA – Astaka Taman Tun Sardon yang terletak di sini bakal ditambah baik demi menyediakan kemudahan yang lebih selesa, ceria dan bersih kepada para pengunjung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, sebanyak 100 buah kerusi dan 30 buah meja baharu diserahkan kepada peniaga-peniaga astaka berkenaan.

“Seperti yang kita ketahui, Astaka Taman Tun Sardon ini amat popular berikutan ia menjadi lokasi ideal untuk menjamu selera.

“Justeru, beberapa pelan telah dirancang termasuk melaksanakan penambahbaikan seperti menaik taraf bumbung serta mengindahkan kawasan persekitaran,” katanya yang ditemui sejurus majlis penyerahan meja dan kerusi kepada peniaga berkaitan di sini.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi Majlis Bandarya Pulau Pinang (MBPP), C. Vino Dini; Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Gelugor, Mohd. Hafiz serta wakil Persatuan Peniaga Pasar Taman Tun Sardon.

Menurut Syerleena, Astaka Taman Tun Sardon bakal diserahkan oleh ICU Jabatan Perdana Menteri kepada MBPP.

“Tahun hadapan astaka ini akan diserahkan kepada MBPP bagi memudahkan operasi dan penyelenggaraan astaka tersebut.

“Walau bagaimanapun, sebelum penyerahan penambahbaikan perlu dilakukan terlebih dahulu,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Syerleena berkata, pihaknya amat memandang serius akan pelekat pinjaman kewangan yang terdapat di tiang-tiang lampu sekitar negeri ini.

“Oleh demikian, saya berharap pihak MBPP dapat mengambil tindakan tegas serta memohon agar orang ramai memainkan peranan dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa bagi membanteras perbuatan ini,” tegasnya.

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI