Tambah tarikan, jaga keunikan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO

Admin
KETUA Menteri turut merakam gambar kenangan di Balai Bomba Lebuh Pantai yang juga difahamkan merupakan salah satu peninggalan warisan di George Town ini.

SEMPENA ulang tahun pengisytiharan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO yang ke-11 baru-baru ini, Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow menyeru warga Pulau Pinang untuk terus bersama-sama Kerajaan Negeri bagi memelihara status tersebut.

Seruan tersebut disuarakan beliau ketika berucap pada majlis pelepasan peserta Program George Town Heritage Walk 2019 dekat Lebuh Pantai pada hari sambutan rasmi peringkat negeri yang jatuh pada tanggal 7 Julai setiap tahun.

Buletin Mutiara hari ini sempat menemubual dua ‘anak jati Tanjong’ bagi mendapatkan komentar mereka berkenaan seruan Ketua Menteri tersebut.

 

Bagi MOHD. HAFIZ SAAD, 30an, beliau merasakan bahawa kempen kesedaran kepada umum harus diperbanyakkan lagi terutamanya menguar-uarkan status tersebut kepada umum kerana berdasarkan hemat beliau ramai rakyat terutamanya muda-mudi tidak menyedari tentang status George Town sebagai kawasan tapak warisan dunia.

“Dengan adanya kempen seperti ini, rakyat dapat memahami dengan lebih mendalam apa itu tapak warisan dunia, bagaimana kita mendapat mengiktirafan tersebut, apa kelebihan memiliki status itu serta mempelajari serba sedikit berkenaan status ini khususnya dalam mengekalkannya di bumi bertuah Malaysia ini.

“Di samping itu, Kerajaan Negeri bersama-sama pihak swasta harus berusaha dan memainkan peranan dengan perbanyakkan festival berbentuk kesenian, muzik, dan nilai-nilai budaya di sini.

“Malah untuk pemahaman yang lebih mandalam, mungkin boleh libatkan sama negeri mahupun negara yang mendapat pengiktirafan sama (UNESCO) untuk turut serta.

“Ini secara tidak langsung mampu mewujudkan silang budaya yang mana ia berguna bagi mengeratkan hubungan ekonomi, politik dan diplomatik serantau,” jelas beliau kepada Buletin Mutiara.

Dalam pada itu, Mohd. Hafiz turut berkongsi pandangan berhubung penambahan arca seni di sekitar tapak warisan dunia George Town.

Menurut beliau, arca-arca seni berkisar sejarah Pulau Pinang boleh dipamerkan di kawasan sekitar sini ekoran ia sememangnya kawasan tarikan dan tumpuan orang ramai, malah apabila mereka memuat naiknya ke media sosial secara tak langsung masyarakat luar turut mengenali salah silah bandar ini.

“Struktur bangunan asal juga perlu dijaga sebaik mungkin, kerajaan dengan kerjasama pihak swasta boleh perbanyakkan arca seni macam di London, Sepanyol dan Paris, masa dekat sana dahulu nampak sangat cantik arca mereka.

“Arca tersebut mampu mengimbas semula zaman kegemilangan misalnya, kalau di Pulau Pinang kita boleh imbas kembali bagaimana negeri pernah jadi antara pelabuhan yang pesat dan sibuk dengan aktiviti perdagangan,” cadang  beliau.

Bagi YUSRIZA ABD. HAMID, 40-an, beliau bersetuju dengan seruan tersebut.

“Saya memang meminati sejarah, salah satu cara saya tunjukkan penghargaan saya kepada George Town ini dengan mengabadikan lukisan-lukisan lama George Town di kedai ini.

“Melalui lukisan ini juga kita tidak akan lupa sejarah, keunikan dan kebudayaan yang pernah ditonjolkan oleh George Town dari dahulu hingga sekarang.

“Jadi keunikan ini kita sama-sama perlu kekalkan untuk generasi akan datang agar mereka boleh lihat dah tahu Tanjong (George Town) ini sungguh unik dan ‘sempoi’,” ujarnya ringkas.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS