Tanah Air Itam, hanya rumah mampu milik dibenarkan – KM

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BAYAN BARU – Syarikat pelaburan milik Kerajaan Pusat, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diminta agar berpegang pada janji iaitu hanya bina rumah mampu milik di atas tanah seluas 234 ekar di Air Itam, tegas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang menyatakan bahawa selain membina perumahan mampu milik, 1MDB juga bercadang menggunakan tanah tersebut untuk pembangunan lain bagi menjana nilai lebih tinggi di atas tanah dibeli ia tahun lalu.

Guan Eng menegaskan , Kerajaan Negeri hanya akan mempertimbangkan pembinaan rumah mampu milik sahaja di atas tanah tersebut sepertimana dijanjikan pihak terbabit sebelum ini.

“Saya beri amaran dan ingin mengingatkan 1MDB agar berpegang pada janji-janjinya untuk membina 9,999 unit rumah mampu milik.

“Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan ia membina selain daripada perumahan mampu milik.

“Untuk tujuan lain, bukan sahaja susah, tetapi sangat-sangat susah,” ujarnya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo , Exco Kerajaan Tempatan , Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow dan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Bagaimanapun, tambah Guan Eng, sehingga kini, Kerajaan Negeri masih belum menerima sebarang cadangan daripada 1MDB untuk membangunkan kawasan berkaitan.

Beliau berkata, syarikat tersebut berkemungkinan menghadapi kesukaran dalam menyelesaikan masalah penduduk setempat di atas tanah tersebut memandangkan ia membabitkan kira-kira 3,000 keluarga.

“Kerajaan Negeri tak akan biarkan penduduk-penduduk ini dipindahkan sewenangnya.

“Kita akan mengambil pendirian tegas jika penduduk setempat secara paksa diusir melalui cara keras,” tegas beliau.

Sebelum itu, pada majlis sama, Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih turut mengumumkan pelaburan di Pulau Pinang untuk tujuh bulan pertama mencecah RM4.6 bilion dan telah melebihi pelaburan bagi tahun keseluruhan sebanyak RM3.9 bilion tahun sebelumnya (2013).