Tanah lapang sebagai anak angkat projek CSR

 

LIM Guan Eng menaiki jentolak sebagai simbolik Majlis Pecah Tanah Taman Tugu Kota Demokrasi Bagan, baru-baru ini.
LIM Guan Eng menaiki jentolak sebagai simbolik Majlis Pecah Tanah Taman Tugu Kota Demokrasi Bagan, baru-baru ini.

 

 

 

BUTTERWORTH – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kini giat melaksanakan projek CSR (Corporate Social Responsibility) iaitu projek pengindahan bandar di daerah Seberang Perai. Inisiatif ini ekoran masih terdapat banyak kawasan lapang yang belum dibangunkan di kawasan Seberang Perai.

Kerajaan Negeri (KN) dan MPSP mengalu-alukan mana-mana agensi yang berminat menjadikan kawasan-kawasan tanah lapang sebagai anak angkat kepada projek CSR. Setakat ini, pihak MPSP telah mengenalpasti 25 lokasi strategik yang boleh diambil oleh individu-individu, syarikat-syarikat, pemaju, pihak bank, organisasi kerajaan dan swasta untuk projek CSR landskap.

Di Seberang Perai, masih terdapat banyak kawasan lapang. Justeru, kita bukan sahaja perlu ada tanaman pokok, malah pokok atau pokok bunga perlu disusun secara teratur dan diadakan landskap yang menarik seperti mercu tanda, kolam air dengan pancutan air serta ikan peliharaan sebagai hiasan. Pengindahan taman tidak harus terhad kepada kawasan dalam pagar tetapi kawasan di pinggir jalan juga harus ditanam dengan pokok dan dihias dengan baik dan menarik demi menjadikan Seberang Perai bersih, hijau dan indah permai,” kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Taman Tugu Kota Demokrasi Bagan baru-baru ini.

Menurut beliau, program pada hari tersebut juga merupakan salah satu daripada projek CSR landskap. Kelulusan cadangan mewujudkan satu Taman Tugu Kota Demokrasi Bagan di Jalan Permatang Pauh telah dipersetujui melalui Majlis Mesyuarat KN pada bulan Mac yang lalu.

Kos yang dianggarkan berjumlah RM607,000.00 akan ditanggung oleh pihak MMC-GAMUDA dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng yang bertanggungjawab mengaturkan penajaan tersebut.

Menurut Ketua Menteri lagi, usaha penambahan taman atau ruang hijau dapat membantu hasrat KN dalam menjadikan Pulau Pinang negeri hijau pertama di Malaysia.