Tanda nama ‘Central Fire Station 1908’ sebagai pengiktirafan khidmat bakti pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai

GEORGE TOWN – Pemasangan tanda nama ‘Central Fire Station 1908′ di hadapan bangunan bersejarah milik Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai merupakan pengiktirafan kepada pasukan penyelamat di sini.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa bangunan ikonik yang terletak dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town itu merupakan balai bomba pertama bukan sahaja di Pulau Pinang bahkan dalam negara.

 

“Bangunan Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai ini merupakan bangunan warisan Kategori I yang berusia 111 tahun dan masih beroperasi secara aktif.

“Kedudukannya yang strategik menjadikan ia (balai bomba) sebagai aset penting, tambahan pula di kawasan ini terdapat banyak bangunan ‘tua’ dan berkemungkinan terdapat struktur (bangunan) yang tidak memenuhi spesifikasi semasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

 

KETUA Menteri menunjukkan gambar rupa bentuk bangunan asal Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai suatu ketika dahulu yang masih disimpan rapi di sini.

“Maka, ia menjadi satu cabaran buat anggota bomba di sini bukan sahaja sentiasa siap sedia memberi khidmat bakti kepada masyarakat di sini ketika berlakunya sesuatu insiden atau malapetaka tetapi juga sebagai ‘agensi teknikal’ bagi spesifikasi bangunan selamat.

 

“Syabas dan tahniah kepada semua anggota di Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai atas usaha murni dalam terus mengekalkan warisan bangunan ini selaras dengan keperluan konservasi warisan Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town,” ucapnya pada Majlis Perasmian Tanda Nama ‘Central Fire Station 1908’ di Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai dekat sini pagi ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng dan Pengarah JBPM Pulau Pinang, PKPjB Saadon Mokhtar.

 

Turut serta, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pulau Pinang, PgKB I, Mohd. Hafiz Hafizal Timaradin; Ketua Zon 1 JBPM Pulau Pinang, PgKB I, Muhammad Tarmizi Md. Jaafar dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai, PKPgB Mohamad Rafizi Arafpin.

 

KETUA Menteri yang ditemani Saadon Mokhtar (duduk, dua dari kiri), Daniel Gooi Zi Sen (duduk, dua dari kanan) dan Teh Lai Heng (duduk, kiri sekali) serta lain-lain anggota menurunkan tandatangan sebagai simbolik perasmian tanda nama pagi ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong berharap jalinan ukhuwah dapat dieratkan lagi, bukan sahaja antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan JBPM, malah juga lain-lain agensi Persekutuan.

 

Terdahulu, Zi Sen ketika ditemui memaklumkan bahawa beliau memperuntukkan sejumlah RM3,000 bagi pemasangan tanda nama itu.

 

“Usaha memulihkan tanda nama ‘Central Fire Station 1908‘ itu adalah inisiatif daripada Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai.

 

“(Dan) saya harap sumbangan yang diberikan itu dapat menaikkan semangat mereka untuk meneruskan usaha murni menjaga serta memelihara bandar raya George Town ini,” jelasnya yang turut menyatakan sokongan terhadap hasrat mewujudkan sudut informasi di balai bomba tersebut untuk berkongsi maklumat dan sejarah bangunan berusia 111 tahun itu.

 

Dalam pada itu, Saadon menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri dan juga pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang mengiktiraf peranan anggota bomba dan penyelamat.

 

“Tanda nama yang dinaikkan itu adalah suatu pengiktirafan oleh Kerajaan Negeri terhadap khidmat anggota bomba dan penyelamat di balai ini, ” katanya.

 

BALAI Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai atau Central Fire Station 1908 digazetkan sebagai bangunan warisan.

Sebagai rekod, Balai Bomba dan Penyelamat Lebuh Pantai merupakan balai bomba pertama yang beroperasi di Malaysia sejak 1908 dengan kekuatan anggota seramai 10 orang ketika itu.

 

Dikenali sebagai ‘Central Fire Station‘ ketika itu, bangunan tersebut kemudiannya dikekal dan digazetkan sebagai bangunan warisan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

Difahamkan, selain perkhidmatan bomba tertua, George Town juga merupakan tempat ‘lahirnya’ perkhidmatan kepolisan di Malaysia yang kini menjangkau usia lebih 200 tahun.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI 
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS