Ukiran lima arca kayu imbau permainan zaman kanak-kanak

Admin

BATU LANCANG – Ukiran lima arca kayu bermotifkan kapal terbang kertas, wau, lastik, gasing dan jigsaw puzzle yang menghiasi Taman Ukiran Permainan Tradisional dekat Taman Poket Jalan Perak disini mengimbau kembali zaman kanak-kanak dahulu.

Unik dan lebih menariknya arca-arca permainan nostalgia berkenaan diperbuat daripada pokok spesis Pterocarpus Indicus (Angsana) yang tumbang ketika kejadian banjir besar pada November 2017 yang disumbangkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang berkata motif ukiran kayu tersebut telah mendapat kerjasama dan komitmen daripada pengukir Can Can Public Art yang dilaksanakan melalui inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

“Selain motif-motif permainan ini, taman ini juga turut diperindahkan dengan pokok teduhan dan renek seperti Hibiscus Tiliaceus, Fagraea Fragrans, Vinca Rosea, Carmona Retusa, Protulaca Grandiflora dan Heliconia Dwarft.

“Kos pembinaan taman poket ini dibiayai oleh enam Ahli Majlis MBPP dengan nilai keseluruhan sebanyak RM23,000,” ujarnya pada Majlis Perasmian Taman Poket Jalan Perak di sini pagi ini.

Hadir  sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lancang, Ong Ah Teong; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan enam Ahli Majlis yang menyumbang iaitu Harvindar Singh, Wong Yuee Harng, Gerald Mak Mun Keong, Shung Yin Ni, Tan Hooi Peng dan Theng Jie Wey.

Dalam pada itu, Ah Teong ketika berucap memberitahu bahawa inisiatif pengindahan seluruh kawasan Batu Lancang masih berterusan dalam usahanya memastikan kawasan itu lebih hijau dan menarik.

“Selain ini, ada lagi dua taman poket dalam perancangan yang akan dihiasi dengan arca kayu iaitu berhadapan Sekolah Kebangsaan Convent Greenlane dan Petronas Batu Lancang.

“Di Batu Lancang juga kita telah ada mural yang dilukis oleh jurulukis terkenal, sebuah taman riadah yang sedang dinaiktaraf berhadapan dengan Pasar Batu Lancang, dan Taman Sakura.

“Taman Sakura ini terletak di Taman Khidmat di mana sebanyak 70 batang pokok sakura telah ditanam dan ia dijangka berbunga lebih kurang dua hingga tiga tahun lagi.

“Terima kasih MBPP dan pihak-pihak berkaitan yang membantu mengindahkan kawasan Batu Lancang,” ujarnya.