Tangani banjir, harap Pusat lulus demi faedah rakyat P. Pinang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PINANG – Di sebalik kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan di Pulau Pinang baru-baru ini, Jagdeep Singh Deo berharap Kerajaan Pusat jangan memungkiri janji mereka untuk meluluskan peruntukan bagi kerjakerja pelebaran serta mendalamkan beberapa batang sungai di negeri ini.

Menurut Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan itu, peruntukan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) (dalam Rancangan Malaysia Ke-10, RMK10) atau Rancangan Living River (ROL) (dalam permohonan peruntukan RMK11) di Sungai Pinang sebanyak RM450 juta sepatutnya diluluskan sekarang, memandangkan Kerajaan Negeri hari ini berjaya mengosongkan kawasan tebing di sepanjang muara sungai tersebut untuk tujuan projek pembangunan berwajib.

“Ini, dia (Kerajaan Pusat) minta kita buat (proses memindahkan penduduk dari tebing Sungai Pinang), apabila kita berjaya buat, tiba-tiba dia (Pusat) kata tak lulus.

“Sekarang, kita (Kerajaan Negeri) menunggu dana peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk kerja-kerja dimulakan,” tegas Jagdeep kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat bersamasama komuniti penduduk setempat turut meninjau kawasan tebing Sungai Pinang berwajib, lalu, melancarkan demonstrasi bantahan ke atas Kerajaan Pusat yang didakwa melengah-lengahkan proses kelulusan peruntukan projek itu.

Katanya, Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi mengambil risiko berunding dengan 223 penduduk setempat bagi memindahkan keluar 101 struktur binaan pelbagai jenis dari sini demi menjayakan projek berkepentingan awam tersebut.

Ini katanya, adalah berdasarkan surat rasmi Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertarikh 9 Oktober lalu, yang mana Guan Eng antara lain memohon Najib meluluskan peruntukan berwajib, susulan berlakunya bencana banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini pada 23 September lalu.

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan turut menjelaskan bahawa RTB dan ROL Sungai Pinang merupakan salah satu daripada tujuh projek seumpamanya yang disenaraikan dalam RMK-11.

Enam projek lain adalah ROL di Sungai Juru yang menelan belanja RM80 juta, Sungai Jawi (RM40 juta), Sungai Perai (RM35 juta), RTB Bayan Lepas (RM153 juta), RTB Sungai Perai (RM35.4 juta) dan RTB Sungai Kechil (RM12 juta). Peruntukan kesemua tujuh projek itu adalah berjumlah RM805.4 juta.

Ekoran itu, Guan Eng berharap, semua permohonan peruntukan dikemukakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang dapat segera diluluskan oleh pihak Najib, demi faedah rakyat di negeri ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu, beliau sendiri ada menulis surat rasmi kepada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar untuk memohon Kerajaan Pusat segera meluluskan peruntukan projek-projek tersebut untuk Pulau Pinang.

“Kita mahukan komitmen, berikan garis masa dan tempoh masa secara terperinci mengenai pelaksanaan semua projek-projek ini,” tegasnya.

Daripada empat fasa kerja-kerja pelebaran dan mendalamkan Sungai Pinang, difahamkan, fasa pertama di bahagian muara sungai itu telahpun dilaksanakan.

Jika peruntukan RM450 juta tersebut diluluskan Kerajaan Pusat, Jagdeep memberitahu bahawa fasa kedua yang dianggap memberi impak paling besar kerana membabitkan beberapa kawasan kerap banjir sehingga ke pekan Air Itam boleh dilaksanakan sekarang.

Sementara itu, Guan Eng dalam kenyataan berasingan menyifatkan bahawa Kerajaan Pusat sekali lagi akan meminggirkan Pulau Pinang. Katanya, Kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) masih terus meminggirkan Pulau Pinang berikutan kegagalan memberikan sebarang projek utama dalam Belanjawan Negara kebelakangan beberapa tahun ini.

“Bukan sahaja janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibuat sebanyak tiga kali bagi membina sistem LRT (aliran transit ringan) bagi mengurangkan kesesakan lalulintas, tidak langsung ditunaikan, malah permohonan Kerajaan Negeri untuk program tebatan banjir sebanyak RM805 juta ditolak.

“Permohonan projek baru rancangan tebatan banjir sebanyak RM805 juta dibuat baru-baru ini, berikutan janji Perdana Menteri akan bantu menyelesaikan masalah banjir kilat, tetapi, malangnya ia masih tinggal janji kosong. Yang lebih teruk lagi, ialah kemungkinan besar RTB Sungai Pinang sebanyak RM150 juta dibatalkan sungguhpun sudah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-9,” jelasnya.

Selain itu, Guan Eng turut menyatakan bahawa Kerajaan Pusat kemungkinan turut memungkiri janji untuk membina hotel empat bintang serta 3,000 lot parkir bersamasama projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), jika berdasarkan pada jawapan bertulis Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 24 November 2015 di Dewan Rakyat.

“Ini adalah sungguh tidak adil kerana Pulau Pinang membayar RM6.3 bilion setiap tahun dalam bentuk cukai dan duti kastam, tetapi hanya dapat pulangan dua peratus sahaja.

“Harus ditekankan bahawa Pulau Pinang masih sebahagian Malaysia dan tidak patut dianaktirikan dan diabaikan sedemikian,” tegas beliau.