Tanpa RM38.8 bilion berapa banyak projek RTB boleh dilaksanakan, soal ADUN Bukit Tengah

Admin

GEORGE TOWN – Gooi Hsiao-Leung menyuarakan persoalan mengenai jumlah projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang boleh dilaksanakan di seluruh negeri Pulau Pinang, sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak perlu ‘membayar’ kira-kira RM38 bilion untuk 1MDB (1Malaysia Development Berhad).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah berkata lagi, perkara yang dibangkitkan olehnya itu adalah relevan memandangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz ada dilaporkan baru-baru ini menyebut bahawa Kerajaan Persekutuan masih perlu menampung kekurangan dana berjumlah RM17 bilion lagi bagi tujuan melunaskan baki prinsipal dan hutang 1MDB berjumlah RM38.8 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2039.

“Kalau Kerajaan Persekutuan tidak perlu membayar (baki prinsipal dan hutang) 1MDB yang berjumlah lebih RM38 bilion ini, bayangkan berapa banyak projek RTB yang tertangguh dapat dilaksanakan di negeri ini,” ujar wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Timbalan Speaker Dewan, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga merupakan ADUN Sungai Bakap di Dewan Persidangan.

Beliau menyuarakan persoalan tersebut semasa membahaskan ucapan Yang Dipertua Negeri Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Abdul Razak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 30 Mei 2022.

Dalam pada itu, Hsiao-Leung turut memuji pentadbiran Kerajaan Persekutuan selama 22 bulan di bawah era Pakatan Harapan yang banyak melimpahkan peruntukan persekutuan kepada penduduk Pulau Pinang, termasuk berusaha menyegerakan permohonan RM150 juta projek RTB Sungai Pinang sebelum ini.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB