‘Tanya atau mungkin ada pemikiran lain apabila capai umur 65 tahun’ – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa kumpulan muda yang dilaporkan melancarkan kempen memboikot calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berusia 65 tahun dan ke atas mungkin mempunyai pemikiran berbeza mengenai kempen tersebut apabila mereka mencapai usia 65 tahun kelak.

“Oleh kerana kami pun belum sampai umur 65 (tahun), saya tak mahu komen lanjut.

“Tanya orang yang sudah capai umur 65 (tahun) atau mungkin tunggu pemuda itu capai umur 65 tahun, mungkin dia akan ada pemikiran yang lain,” jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Aplikasi Penang Smart Parking (PSP) Versi 2.0.3 di Dewan Bandaraya dekat sini pada 3 April 2021.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong kini berusia 63 tahun.

Semalam, sebuah portal berita arus perdana melaporkan lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
belia bergabung untuk menggerakkan gelombang besar-besaran bagi mengajak pengundi memboikot calon yang berusia lebih 65 tahun dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut sumber, langkah itu dibuat sebagai
tindak balas terhadap tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) menangguhkan pelaksanaan pendaftaran untuk pengundi berusia 18 tahun.

Gelombang dalam skala besar itu akan dibuat menerusi
kempen dan dalam platform media sosial bagi mengajak
golongan belia yang layak mengundi untuk memilih calon
yang berusia di bawah umur 65 tahun.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN