Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, peruntukan awalan lebih RM7 juta diluluskan untuk Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Setakat ini, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khary Jamaluddin Abu Bakar telah meluluskan peruntukan awalan lebih RM7 juta untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi keperluan negeri Pulau Pinang.

Demikian respons Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow kepada pemberita pada pagi tadi, susulan menerima kunjungan hormat Menteri berkenaan di pejabatnya Khamis lalu.

Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa Pulau Pinang memerlukan kira-kira RM40 juta untuk pelaksanaan program berkenaan terutamanya membabitkan Fasa 2 dan Fasa 3, malah gesaan supaya barisan hadapan ekonomi (economy frontliners) iaitu mereka yang berkhidmat dalam sektor perkilangan sebagai penerima vaksin telah dinyatakan sebelum ini kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

“Permintaan sudah pun lama dikemukakan (kepada Kerajaan Persekutuan) khususnya daripada segi melaksanakan program imunisasi fasa dua dan fasa tiga

“Walaupun saya mohon RM40 juta, tapi mungkin tidak pakai peruntukan (Persekutuan) sebanyak itu, dan Menteri pun sudah lulus lebih RM7 juta untuk peringkat awal ini,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong selepas merasmikan Majlis Pelancaran Penang Smart Parking (PSP) Versi 2.0.3 di Padang Kota dekat sini pada 3 April 2020.

Turut serta, Exco Perumahan & Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.

Menurut Kon Yeow, dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang – Pengurusan Pandemik COVID-19 akhir-akhir ini, telah ada suatu pemikiran baharu mengenai kelompok yang wajar diberikan keutamaan sebagai penerima vaksin.

“Sekarang program (imunisasi) yang dilaksanakan adalah melibatkan tiga fasa, kelompok pertama adalah barisan hadapan, kelompok kedua adalah warga emas dan golongan berisiko tinggi manakala (kelompok) ketiga adalah lain-lain.

“Ini bermakna, program imunisasi tersebut seakan tidak memberikan perhatian atau keutamaan kepada tempat-tempat yang ada banyak kes harian positif COVID-19 sebaliknya, akan pergi sama rata ke semua negeri, semua daerah serta semua mukim berdasarkan pendaftaran (menerusi MySejahtera).

“Tetapi, pemikiran baharu yang dinyatakan dalam mesyuarat baru-baru ini adalah fokus kepada zon-zon merah supaya diberi keutamaan (sebagai penerima vaksin), dan kilang-kilang merupakan antara zon merah pada ketika ini, khususnya di negeri-negeri perindustrian seperti Johor, Selangor, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Oleh kerana masih ada kes-kes industri, maka menteri dan jawatankuasa beliau sudah meneliti perkara ini dan dalam mesyuaratnya, beliau setuju tetapi pelaksanaannya adalah bergantung kepada penghantaran vaksin dari semasa ke semasa,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Pengerusi JKKN Pulau Pinang.

Tambah Kon Yeow, Menteri dalam reaksi balas memberitahu bahawa cadangan pekerja industri diberi keutamaan sebagai penerima vaksin itu hanya boleh dilaksanakan dalam tempoh dua bulan lagi iaitu bergantung kepada tahap pengantaran vaksin masuk ke negara ini.

“Misalnya, pihak kilang perlu mendaftarkan pekerja-pekerja mereka, contohnya, kilang A ada 3,000 orang perlu divaksin, maka, Kementerian akan membuat padanan dengan pasukan pengamal perubatan yang telah lama membuat kerja-kerja (vaksinasi) itu atau hospital serta klinik-klinik swasta, kemudian satu pasukan dihantar ke kilang berkenaan (untuk kerja-kerja memberi vaksinasi kepada pekerja),” katanya.

Pada 16 Mac lalu, Kon Yeow pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) COVID-19 antara lain mencadangkan kepada Kerajaan Pusat supaya suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dapat disegerakan kepada mereka yang bekerja dalam sektor perkilangan di negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN