Tapak kejadian runtuhan lereng masih dalam Stop Work Order – Ketua Menteri

PAYA TERUBONG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menegaskan bahawa tapak projek jalan berkembar Paya Terubong yang mengalami kejadian runtuhan lereng tadi sememangnya berada dalam keadaan Stop Work Order (SWO).

Katanya, pihak kontraktor turut memaklumkan kepada beliau bahawa tiada sebarang kerja-kerja pembinaan dijalankan sepanjang SWO yang dikenakan selepas tragedi runtuhan bim-bim kira-kira 500 meter(m) dari tapak kejadian berkaitan minggu lalu.

“Kita (Kerajaan Negeri) selalu tegaskan dalam kes-kes dahulu, SWO disifatkan pemberhentian kerja sepenuhnya, tetapi kita juga pernah cakap tidak stop work sama sekali kalau ada bahagian-bahagian yang bahaya, kerja-kerja mitigasi segera perlu dilakukan.

“Ini memang tidak ‘melangkah’ SWO kerana SWO mensyaratkan apa yang boleh dilakukan dalam tempoh ini. 

“Mungkin kejadian pertama (runtuhan bim) berlaku di sana jauh dari tempat kedua, dan hari ini kontraktor memaklumkan bahawa mereka tidak lakukan apa-apa kerja termasuk pengawasan tapak,” jelas Kon Yeow ketika melawat tapak kejadian runtuhan lereng berhampiran Jalan Paya Terubong di sini petang tadi.

Hadir sama, Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Exco Pembangunan Pelancongan, Warisan dan Kesenian, Yeoh Soon Hin merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Pegawai Daerah bagi Daerah Timur Laut (DTL), Zulkifli Long.

Turut serta, Ketua Polis Negeri, Datuk Seri A. Thaiveegan dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar.

Kon Yeow dalam pada itu turut menzahirkan kekesalan dan ‘sakit hati’ atas kejadian yang meragut dua nyawa (setakat ini) warga asing iaitu dari Indonesia dan Bangladesh.

Lanjutan itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihak kontraktor juga sudah mengemukakan laporan berhubung kejadian runtuhan bim kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) pagi tadi.

Dalam meneruskan operasi mencari dan menyelamat yang masih bersambung pada waktu malam, Kon Yeow turut menzahirkan penghargaan kepada kira-kira 145 anggota dari pelbagai agensi terlibat, malah turut menyeru pasukan-pasukan terlibat supaya mengutamakan keselamatan berikutan kebimbangan jika masih ada pergerakan tanah yang mungkin berlaku.

Dalam pada itu, Saadon ketika memberi keterangan kepada pihak media menyatakan bahawa pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1:56 petang tadi dan menganggarkan lima hingga enam mangsa masih tertimbus kesan daripada kejadian berkenaan.

“Adalah dipercayai kejadian tanah runtuh ini telah mengheret enam rumah kongsi dan sebuah pondok berdasarkan keterangan beberapa saksi serta ahli keluarga mangsa,” ujarnya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI 

Gambar : CHAN KOK KUAN

Video Langsung : LAW SUUN TING