Tapak pembuangan sisa haram kilang di tanah kerajaan negeri dibersihkan

Admin

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertindak membersihkan kawasan tanah milik kerajaan negeri yang dijadikan sebagai tapak pembuangan secara haram sisa kilang sejak beberapa tahun lalu.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam sekitar, Phee Boon Poh berkata, sisa tersebut telah dikenal pasti berasal dari sebuah kilang yang menjalankan perusahaan kitar semula tanpa lesen selain struktur bangunan yang dibina tidak mempunyai pelan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Walaupun Kerajaan Negeri mengalu-alukan amalan 3R (Reuse, Reduce, Recycle) tetapi haruslah dibuat secara sah atau dengan kebenaran PBT selain perlu menjaga kebersihan alam sekitar.

“Oleh itu, pagi ini kita (Kerajaan Negeri) menjalankan operasi untuk membersihkan sisa yang dibuang secara haram di atas tanah milik kerajaan dan PBT (MPSP) pula memberi notis amaran supaya pihak berkaitan menghentikan perusahaan mereka dengan kadar segera atau berdepan tindakan kompaun maksimum RM500,000,” katanya pada sidang media sejurus operasi di tapak pembuangan sisa haram di sini sebentar tadi.

Operasi berkenaan turut disertai oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), pegawai penguatkuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP); Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Jelas Boon Poh lagi, kilang tersebut bukan sahaja membuang sisa yang tidak dikitar semula secara haram, malah turut melakukan pembakaran secara terbuka sehingga mendatangkan ancaman bahaya kepada pengguna jalan raya di kawasan berkaitan.

“Mereka mengambil barang yang mahu dikitar semula termasuk plastik yang diimport, dan membuang apa yang mereka tidak perlukan di tanah kerajaan negeri dan membakarnya

“Memandangkan lokasi ini terletak bersebelahan jalan raya, kita (Kerajaan Negeri) terima banyak aduan daripada penduduk berhubung asap tebal yang terhasil daripada aktiviti pembakaran ini sehingga menyebabkan halangan lalu lintas dan penduduk berdekatan juga mengalami masalah kesukaran untuk bernafas,” katanya.

Difahamkan, pihak terbabit juga diarahkan supaya meruntuhkan struktur dan bangunan sedia ada kerana ia dibangunkan secara tidak sah.

“Kita telah mengenal pasti operator berkenaan dan menasihati mereka (operator berwajib) supaya menghentikan segera aktiviti mereka dan merobohkan struktur sedia ada kerana ia didirikan secara haram.

“(Dan) sekiranya operator berkenaan gagal mematuhi arahan maka pihak berkuasa MPSP akan mengeluarkan satu lagi notis dan mengheret mereka (operator berwajib) ke mahkamah,” tegasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS