Tapak Perkhemahan Pengakap Pulau Pinang beri manfaat kepada 15,000 ahli

TELUK BAHANG – Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas pagi ini meluangkan masa melawat ke Tapak Perkhemahan Pengakap di Taman Negara Pulau Pinang yang terletak di Teluk Bahang.

Tapak yang terletak di Lot 646, (dekat Pasir Pandak) Teluk Bahang itu bakal dibangunkan untuk kegunaan aktiviti kepengakapan pada masa hadapan.

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang turut sama dalam lawatan itu, cadangan untuk membangunkan tapak tersebut disuarakan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pulau Pinang, Zulkifli Kamaruddin dalam usaha mewujudkan satu lokasi baru untuk aktiviti kepengakapan di negeri ini.

“Cadangan pembangunan tapak tersebut telah mendapat perkenan daripada TYT Tun (Dr. Abdul Rahman) dan kini dalam proses untuk mendapatkan dana daripada Pusat.

“Suatu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Dato’ SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar) akan membawa cadangan ini ke peringkat seterusnya,” ujarnya kepada pemberita usai lawatan berkaitan di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato’ Azhar Arshad dan Pengarah Pejabat Tanah & Galian Pulau Pinang, Akmar Omar.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Pengakap Negara, Datuk Ahmad Shazilly Ismail Bakti dan Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Pulau Pinang, Lee Toong Leon antara yang sertai lawatan berkaitan.

Mengulas lanjut, Lip Chee memaklumkan bahawa sebelum ini pihaknya bersama-sama wakil daripada Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Negeri Pulau Pinang serta agensi dan jabatan kerajaan berkaitan telah mengadakan lawatan teknikal ke tapak tersebut.

“Tapak perkhemahan ini mampu menampung dan memberi manfaat kepada 15,000 ahli dan hasil daripada perbincangan bersama-sama jawatankuasa khas struktur binaan yang bakal didirikan di tapak ini bukanlah bersifat kekal.

“(Dan) pokok-pokok sedia ada juga perlu dikekalkan seperti sedia ada,” katanya yang turut terlibat dalam memudah cara cadangan pembangunan tapak tersebut.

Terdahulu, Abdul Rahman yang juga Penaung PPM Negeri Pulau Pinang meletakkan tanda kenangan di tapak yang berkeluasan 58.2208 meter persegi itu untuk dibangunkan sebagai Tapak Perkhemahan Pengakap.

Difahamkan, apabila siap kelak, tapak tersebut akan dinamakan sebagai Tapak Perkhemahan Tun Dr. Abdul Rahman Abbas.

Antara kemudahan yang bakal dibangunkan termasuklah asrama, tapak perkhemahan jambori, zon pendidikan alam semula jadi, zon aktiviti, zon Pengakap Laut dan zon rekreasi.

Kemudahan asas yang dicadangkan untuk dibangunkan di kawasan tersebut termasuklah asrama, tapak perkhemahan jambori, zon pendidikan alam semula jadi, zok aktiviti, zon perkembangan pengakap laut dan zon rekreasi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD