Keadaan semasa di Pulau Pinang kekal stabil – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Keadaan semasa di Pulau Pinang kekal stabil dan tidak terjejas meskipun dijangka berlaku pensejajaran dalam landskap politik negara, demikian tegas Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow.

Beliau berkata demikian sejurus mengadakan pertemuan selama lebih 20 minit dengan Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas di kediaman rasminya, Seri Mutiara dekat sini kira-kira jam 3 petang tadi.

Kon Yeow memberitahu bahawa di peringkat negeri, Pulau Pinang hanya menerima impak ‘kecil’ kesan daripada situasi kecelaruan politik yang dilihat melanda negara kini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa mengikut laporan diterima, hanya terdapat dua wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertanding atas platform Pakatan Harapan (PH).

“Impaknya daripada segi pengumuman PPBM yang keluar daripada PH, itupun jika dua ADUN (PPBM) berkenaan juga mengumumkan keluar daripada PH.

“Manakala, bagi PKR (Parti Keadilan Rakyat) sehingga kini belum ada sebarang laporan rasmi tentang mana-mana ahli yang akan keluar daripada PH.

“Jadi, keadaan (politik) semasa di Pulau Pinang adalah amat stabil dan Tun (Abdul Rahman) sendiri pun melahirkan keyakinan dengan keadaan semasa di Pulau Pinang.

“Adalah diharapkan kemelut ini akan selesai dengan secepat mungkin,” ujar Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Turut serta, Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Muhamad Azrai Mohamad Zaini.

Pada pertemuan sebentar tadi, isu yang turut dibawa kepada perhatian Abdul Rahman adalah berhubung Rang Undang-undang Enakmen Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2012.

Kon Yeow menjelaskan bahawa mengikut enakmen tersebut, mana-mana ahli politik yang bertanding atas satu-satu tiket yang keluar daripada parti itu, maka kerusi (yang ditandinginya) tersebut boleh dianggap sebagai kosong.

“Saya telahpun mendapatkan ulasan daripada Penasihat Undang-undang Negeri dan menekankan bahawa sememangnya Perlembagaan negeri menghalang mana-mana ahli ataupun yang keluar daripada parti yang mereka tandingi itu, maka kerusi tersebut boleh dianggap sebagai kosong.

“Dan, apabila ini berlaku, pihak Kerajaan Negeri ataupun Speaker DUN (Dewan Undangan Negeri) perlu memaklumkan kepada SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia) untuk mengadakan pilihan raya kecil,” jelasnya.


Namun, Kon Yeow menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak perlu tergesa-gesa memutuskan hal tersebut sebaliknya menunggu kemelut di peringkat Persekutuan diselesaikan terlebih dahulu.

“Kita (Kerajaan Negeri) sebenarnya tidak perlu tergesa-gesa, biarlah apa yang berlaku di peringkat Persekutuan diselesaikan terlebih dahulu, barulah kita ambil apa-apa tindakan setelah keadaan lebih jelas dan tenang,” ulasnya.

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : ALISSALA THIAN