Tapak semaian MPSP ke arah menghijaukan Pulau Pinang

Admin

Oleh: ZULIANA AZIZ
Gambar: LAW SUUN TING

S O O N L i p C h e e menunjukkan pokok bunga jarum.
SOON Lip Chee menunjukkan pokok bunga jarum.

SEBERANG PERAI – Mungkin ramai yang tidak mengetahui mengenai kewujudan Tapak Semaian Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang terletak di Sungai Puyu, Seberang Perai Utara. Di sinilah terletaknya ribuan pokok bagi memenuhi keperluan ke arah menghijaukan negeri ini supaya lebih indah, bersih dan sejuk mata memandang.

Tapak semaian ini telah dibina kira-kira 20 tahun lalu oleh pihak MPSP yang menempatkan lebih daripada 200 spesies pokok untuk dijual secara borong, disewa dan didermakan kepada pihak-pihak yang memerlukan.

Menurut jurucakap MPSP, Soon Lip Chee, pihaknya seringkali menerima permintaan atau permohonan untuk menyewa pokok-pokok yang terdapat di tapak semaian bagi tujuan pengindahan kawasan yang terlibat.

“Pihak MPSP akan memberi sewa pada kadar yang sangat berpatutan kepada mereka yang memohon untuk menyewa terutama pihak sekolah, masjid tokong-tokong Cina dan Hindu, kilang-kilang dan persatuan-persatuan yang berkenaan.

Adakalanya, kami terus dermakan pokok-pokok tersebut jika didapati mereka layak untuk  menerimanya,” ujar beliau kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Tambah beliau lagi , penanaman pokok-pokok di pinggir jalan raya, taman permainan, tanah lapang dan persimpangan yang kosong sangat penting selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mahu Pulau Pinang menjadi negeri bersih dan hijau pertama di Malaysia.

PINTU masuk ke Tapak Semaian MPSP.
PINTU masuk ke Tapak Semaian MPSP.

Selain itu, penanaman pokok-pokok juga dapat menceriakan dan mengindahkan bukan sahaja di Seberang Perai, malah, di seluruh negeri ini sekaligus dapat menjadikan Pulau Pinang sebagai tempat pelancongan utama pilihan pelancong asing.

Setiap pokok yang terdapat di tapak semaian ini dijaga rapi oleh enam orang pekerja termasuk seorang mandor. Pokok-pokok akan dibaja dan disemai setiap pagi bagi memperbanyakkan lagi spesies pokok yang terdapat di sini.

Bagi mereka yang ingin menyewa atau membeli pokok-pokok di tapak semaian ini, bolehlah mengisi borang di kaunter MPSP bagi mendapatkan tawaran harga yang sangat murah dan berpatutan.