Tarik nafas lega, 75 keluarga terima kunci unit kediaman sementara di Selasih Court

Admin

TANJUNG BUNGA – Seramai 75 keluarga dari Kampung Mutiara, Batu Feringghi hari ini mampu menarik nafas lega apabila menerima kunci unit kediaman sementara di Selasih Court, Tanjung Tokong.

Penyerahan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman dekat Selasih Court pagi tadi bersama-sama wakil UDA Holding Berhad.

Menurut  Ahmad Zakiyuddin, isu yang berlarutan kira-kira hampir 10 tahun itu kini dilihat semakin selesai apabila berlangsungnya pemindahan fasa pertama bagi penduduk-penduduk yang terlibat dengan pemajuan di Kampung Mutiara itu.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, kita memang prihatin dengan apa yang dialami penduduk seperti kesusahan, tekanan dan kita ucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang berusaha termasuklah pimpinan-pimpinan di semua peringkat.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga bekerjasama dengan semua agensi sedaya upaya menggunakan sumber-sumber yang ada oleh Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk selesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk.

“Ini adalah selari dengan apa yang dihasratkan oleh kerajaan (negeri) sekarang yang meletakkan keselesaan hidup rakyat dalam visi utama Penang2030 di mana kita bukan sahaja cuba bagi keselesaan kediaman malah memartabatkan rakyat dalam memberi pandangan dan fikiran serta terlibat dalam keputusan kerajaan,” ujar beliau ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Kunci Kediaman Sementara oleh UDA Holding Berhad kepada Penduduk Kampung Mutiara di sini pagi tadi.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Strategik) Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri, Dr. Aizi Razman Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA Holdings Berhad, Sr. Mohd Salem Kailany.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga komited untuk membantu UDA dalam melancarkan proses-proses pembangunan semula di Kampung Mutiara dan sekitarnya.

Dalam pada itu, Salem ketika berucap menyatakan, selaku agensi pelaksana yang bakal membangunkan kediaman baru untuk penduduk Kampung Mutiara, pihaknya terpanggil untuk menyediakan unit kediaman sementara di Selasih Court yang dimiliki oleh UDA atas kos tanggungan pihak berkaitan juga.

“UDA bakal menyediakan 1,068 unit kediaman merangkumi 400 unit rumah pangsa kos rendah, 166 unit (pangsapuri mampu milik) dan 502 unit (apartment/kondominium).

“400 unit rumah pangsa tersebut adalah penempatan semula yang diberikan secara percuma kepada penduduk Kampung Mutiara, Kampung Che Ahmad, Kampung Din Bamboo dan Kampung Kubur yang telah dikenal pasti mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh  Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Penduduk Kampung Mutiara dan sekitarnya bakal menerima kediaman kekal 800 kaki persegi (kp) seunit yang lebih teratur dan selesa,” tambah beliau.

Justeru itu, belia berharap usaha sama ini dapat memberi sinar baharu kepada penduduk-penduduk tersebut.

Difahamkan baki keluarga yang masih tinggal di kawasan Kampung Mutiara dan sekitarnya akan dipindahkan secara berperingkat-peringkat.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD