Taska D’Komtar 2.0 penuhi keperluan penjagaan kanak-kanak penjawat awam

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) membina sebuah lagi taska bagi memenuhi keperluan penjagaan kanak-kanak dalam kalangan penjawat awam negeri ini.

‘Caretaker’ Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng berkata pembinaan Taska D’Komtar 2.0 adalah rentetan kapasiti di Taska D’Komtar 1.0 yang dibina pada tahun 2013 telah mencapai tahap maksimum.

Antara kemudahan yang disediakan dekat Taska D’Komtar.

“Kerajaan Negeri menyedari betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak serta memahami keperluan ibu bapa bekerjaya terutamanya penjawat awam Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan agensi-agensi di bawahnya.

“Maka, Kerajaan Negeri telah membuat keputusan untuk membina Taska D’Komtar 2.0 dalam usaha memastikan kanak-kanak di Pulau Pinang mendapat penjagaan yang terbaik,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Taska D’Komtar 2.0 dekat Komtar, di sini sebentar tadi.

Hadir sama, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim; mantan ADUN Berapit, Heng Lee Lee; Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng serta Pengarah Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Zakaria Taib.

Chong Eng berkata, pengubahsuaian Taska D’Komtar yang menelan kos RM200,000 yang biayai oleh PDC adalah mengikut spesifikasi yang diperlukan untuk sebuah taska.

“Selepas ini, Taska D’Komtar 2.0 akan diserahkan kepada PWDC untuk memantau dan menilai prestasi taska bersama pihak operator,” katanya lagi.

Sementara itu, Ong Bee Leng memberitahu bahawa reka bentuk pengubahsuaian dan perancangan ruang Taska D’Komtar adalah dengan mengambil kira keperluan penjagaan bayi atau kanak-kanak di bawah 2 tahun.

“Antara kerja-kerja fizikal yang dijalankan merangkumi penyediaan bilik-bilik keperluan, memasang kemasan lantai, siling baru, dinding, kerja-kerja perpaipan untuk tambahan tandas dan pantri serta kerja elektrikal dan mekanikal yang berkaitan.

“Kini unit 2B 4.16 dan unit 2B 4.17 Podium B, dengan jumlah keluasan 1,895 kaki persegi, yang merupakan unit-unit PDC akan disewa kepada PWDC.

“Justeru, adalah diharapkan agar taska ini akan menjadi inspirasi kepada sektor awam dan swasta untuk membina Childcare@Workplace di tempat kerja masing-masing supaya lebih ramai ibu dapat terus bekerja,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada PDC.

Taska D’Komtar mampu memuatkan 32 kanak-kanak.

Difahamkan, Taska D’ Komtar 2.0 yang beroperasi di Aras 4, Podium B, Komtar dapat menampung seramai 32 kanak-kanak.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mewujudkan Taska D’Komtar 1.0 pada tahun 2013 untuk menyediakan fasiliti penjagaan kanak-kanak untuk pejawat awam.

Kemudian pada tahun 2019, Tadika WhyteHouse@Penang Tech Dome dibuka untuk penjawat kerajaan melalui kerjasama awam dan swasta.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING