Taska, tadika perlu daftar dengan MPPP

ONG Ah Teong
ONG Ah Teong.

GEORGE TOWN – Ekoran peningkatan kes kemalangan melibatkan kanak-kanak di tadika dan taska, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah melaksanakan Undang-undang Kecil Trade Perniagaan dan Perindustrian MPPP 1991 yang mengkehendaki setiap pertubuhan tersebut di negeri ini mendaftarkan perniagaan mereka.

Melalui pengimplementasian undang-undang tersebut, setiap pemilik tadika dan taska perlu mendaftarkan perniagaan mereka melalui Jabatan Perlesenan MPPP yang telah berkuatkuasa awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MPPP, Ong Ah Teong berkata, pengusaha tadika dikehendaki mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Pelajaran Negeri terlebih dahulu sebelum mendaftarkan perniagaan dengan Jabatan Perlesenan. Manakala, bagi pengusaha taska, kebenaran perlu diperoleh daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Melalui lesen yang dikeluarkan ini, MPPP berhak untuk memantau dari segi kebersihan makanan, kesihatan dan faktor keselamatan kanak-kanak tersebut.

Tindakan untuk menghentikan operasi juga boleh dikenakan sekiranya didapati pengusaha beroperasi secara tidak sah oleh pihak MPPP,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Tambah Ah Teong, melalui siasatan dan pemantauan yang dijalankan MPPP, terdapat 138 taska dan tadika (245) di negeri ini secara keseluruhan.

Bagaimanapun, hanya sejumlah kecil sahaja yang mempunyai kelulusan daripada MPPP.

“Justeru, pemilik-pemilik terbabit (yang tidak memiliki kelulusan MPPP) dinasihatkan agar mendaftarkan perniagaan mereka secepat mungkin.

“Pada masa sama, ibu bapa turut dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih taska serta tadika yang berlesen agar keselamatan anak-anak mereka terjamin sepenuhnya dan dapat mengurangkan risiko kemalangan,’’ ujar  beliau.