11 kenderaan MPSP bakal dilupuskan

Oleh: ZULIANA AZIZ

ANTARA kenderaan MPSP yang rosak dan bakal dilupuskan.
ANTARA kenderaan MPSP yang rosak dan bakal dilupuskan.

SEBERANG PERAI – Kira-kira 11 kenderaan milik Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal dilupuskan akibat rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Semua kenderaan yang berusia antara 11 hingga 25 tahun itu tidak dapat dibaiki disebabkan MPSP tidak mampu untuk menanggung kos penyelenggaraan yang terlalu tinggi.

Justeru, inisiatif telah diambil oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menyediakan peruntukan setiap tahun bagi membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit membaikpulih kenderaan yang masih berpotensi untuk digunakan.

Menurut Ahli Majlis MPSP, Soon Lip Chee, sehingga kini, terdapat 32 panel mekanik yang menjalankan kerja-kerja servis dan kerja pembaikan kenderaan MPSP. Panel mekanik telah dilantik melalui kelulusan Yang DiPertua (YDP) dan Setiausaha Perbandaran.

Namun, terdapat aduan daripada pegawai MPSP mengenai sesetengah panel mekanik yang lambat menjalankan tugas sekaligus menyukarkan mereka untuk mendapatkan kenderaan yang dibaiki secepat mungkin.

“Sebagai sebuah kerajaan tempatan, kami cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik khususnya kepada orang ramai.

Kemungkinan pihak kami akan mengkaji semula mengenai pemilihan panel mekanik agar imej kami tidak terjejas di masa hadapan. Tahun lepas, kami sudah membuat ‘open tender’ sekali lagi bagi memilih panel mekanik yang betul-betul boleh melakukan kerja,” ujarnya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.