Tauke bukan musim durian

Oleh : YAP LEE YING
Gambar : AHMAD FARHAN MOHAMAD FAUZI 

SYED Kali Maricar menunjukkan dusun durian di bawah jagaannya di lereng bukit Kampung Pondok Upeh, Balik Pulau.
SYED Kali Maricar menunjukkan dusun durian di bawah jagaannya di lereng bukit Kampung Pondok Upeh, Balik Pulau.

DI Balik Pulau, Pulau Pinang, durian hanya berbuah setahun sekali. Ketika itu, berlambak-lambak durian yang dijual di sepanjang jalan seluruh negeri ini sehinggakan tak habis dimakan.

Sebulan selepas itu, jualan durian kian berkurangan dan akhirnya menyepi. Sepanjang tempoh tersebut, pernahkan anda tertanya-tanya apa yang dilakukan oleh tauke-tauke durian yang sebahagian besarnya hanya bergantung kepada sumber pendapatan tersebut.

Persoalan ini menarik minat Buletin Mutiara (BM) untuk mencungkil jawapannya. Janjitemu penulis dan jurugambar BM telah ditetapkan oleh seorang kenalan pada petang hari. Kami dibawa memasuki satu lorong berlumpur dan selepas berjalan kira-kira 500 meter, kami akhirnya tiba di sebuah dusun durian yang amat luas terletak di lereng bukit Kampung Pondok Upeh, Balik Pulau.

DUSUN durian.
DUSUN durian.

duriansyed3

Temuramah BM dengan Syed Kali Maricar (Syed), 51, yang bertanggungjawab dalam bahagian pemasaran dusun durian berkenaan diadakan di bawah sepohon pokok durian. Ouchhhh! jerit jurugambar BM. Tanpa diduga, pokok durian yang satu-satunya menjadi teduh kami rupa-rupanya turut menjadi pilihan sang kerengga untuk membuat sarangnya. Tidak tahan dengan gigitan serangga ‘ganas’ tersebut, kami kemudian beralih ke bawah pokok kelapa yang tidak kurang ‘bahayanya’ sekiranya nasib tidak baik.

Menurut Syed, pada musim durian, sebanyak 500 biji durian dapat dipungut untuk satu sesi kutipan (terdapat dua sesi kutipan iaitu pada jam 6.30 pagi dan 3 petang setiap hari) dan durian dijual pada kadar harga antara RM3 hingga RM10 sekilogram (kg) bergantung kepada jenisnya.

“Semua durian dijual menerusi sistem pawah iaitu keuntungan dibahagi dua dengan pemborong. Dalam tempoh sebulan (musim durian), untung bersih yang diperoleh adalah kira-kira RM10,000.

“Keuntungan tersebut adalah mencukupi untuk membuat putaran modal semula menjelang musim berbuah tahun hadapan,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini. Syed memberitahu, pokok durian tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Justeru, apabila tamat musim buah, apa yang perlu diberi perhatian adalah kerja-kerja menebas dan membaja.

“Pokok durian bukan jenis pokok yang ‘manja’. Ia hanya perlu dibaja setahun sekali.’’ jelasnya yang bertanggungjawab mengelola dusun yang mempunyai keluasan kira-kira 200 ekar.

Ditanya mengenai apakah cabaran ‘menjaga’ dusun durian, Syed menyatakan bahawa seseorang perlu kuat semangat dan berani terutamanya pada musim durian berbuah. Ini kerana, jelasnya, selain ancaman manusia, beliau serta pekerja-pekerja juga sering ‘dikacau’ makhluk-makhluk halus.

ISMAIL Darus.
ISMAIL Darus.

Sementara itu, bagi pemilik dusun, Ismail Darus, 71, apabila tamat musim durian, beliau akan membela lembu dan mengusakan kebun pisang miliknya.

Sekali-sekala, beliau akan menebas hutan dan tabur baja jenis ‘cows head 13-10-20+3S’ di dusun seluas 12 ekar yang dipajak olehnya melalui perjanjian dua tahun sekali.

Mengulas mengenai hasil jualan, Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Pak Mail’ memberitahu bahawa apabila harga durian mahal, pendapatan yang diperoleh adalah banyak. Namun, apabila buah terlalu banyak dan harga pun kurang, pendapatan adalah tidak semewah yang diharapkan. Akan tetapi, perbelanjaan isi rumah tetap dapat ditampung.

“Saya dah pajak dusun ini lebih kurang 23 tahun. Terdapat kira-kira 70 pokok durian di sini jenis baka kampung. Apabila tiba musim durian, kira-kira 3,000 hingga 4,000 biji buah durian yang dapat dijual setiap musim,’’ kata Haji.

KANDANG lembu Ismail Darus.
KANDANG lembu Ismail Darus.