Mantapkan B.Inggeris melalui ‘Fun English Camp’

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

ISTERI Ketua Menteri Pulau Pinang, Betty Chew (empat dari kanan) bergambar bersama ahli jawatankuasa penganjur ‘Fun English Camp’ selepas majlis sidang akhbar di Komtar baru-baru ini.
ISTERI Ketua Menteri Pulau Pinang, Betty Chew (empat dari kanan) bergambar bersama ahli jawatankuasa penganjur ‘Fun English Camp’
selepas majlis sidang akhbar di Komtar baru-baru ini.

BALIK PULAU – Pertubuhan Wanita Mutiara di bawah Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti dengan kerjasama Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain akan mengadakan ‘Primary School Leavers Fun English Camp’ selama 3 hari bermula 5 Disember hingga 7 Disember ini.

Program yang akan bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang itu bakal berlangsung di Dewan Komuniti Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Balik Pulau.

Kem julung kali yang diadakan ini mensasarkan golongan pelajar lepasan tahun 6 sebagai persediaan kepada mereka untuk melangkah ke alam persekolahan menengah.

Objektif utamanya adalah menggalak dan meningkatkan mutu penguasaan setiap pelajar dalam Bahasa Inggeris termasuklah aspek pembacaan dan kemahiran penulisan, pembentukan perbendaharaan kata, penulisan cerita dan pembacaan papan cerita.

Di samping itu, kemahiran pemikiran kritikal, penyediaan penyampaian dan peletakan gambar turut akan diajar dan diterapkan bersama. Ianya juga adalah sebagai salah satu inisiatif dan usaha bagi membantu pelajar dari golongan keluarga yang berpendapatan rendah untuk menguasai serta memperkasakan kualiti Bahasa Inggeris mereka.

Seramai lima fasilitator yang berpengalaman luas dari ‘Penang English Language Learning and Teaching Association’ (PELLTA) dan turut dibantu oleh Pertubuhan Wanita Mutiara akan bersama menjayakan kem ini.