GEORGE TOWN – Perancangan membangunkan sebuah pusat sains yang lebih besar dan moden kini menjadi fokus utama Tech Dome Penang dalam usaha memenuhi permintaan pengunjung yang semakin meningkat, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai hab sains dan teknologi serantau.
Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya kini berada pada peringkat awal perancangan bagi merealisasikan pembangunan tersebut susulan fasiliti sedia ada yang telah mencapai kapasiti maksimum.
“Pusat baharu ini bakal menyediakan pameran interaktif yang lebih canggih, ruang pendidikan yang lebih luas serta kemudahan bertaraf dunia, sekali gus mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hab serantau dalam bidang sains, teknologi dan inovasi,” ujarnya pada sidang media di Komtar, semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Tech Dome Penang, Khoo Boo Wooi dan Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Kanan Tech Dome Penang, Oun Sui Leng.

Menurut Jagdeep, pembangunan pusat sains itu juga akan mempertingkatkan pengalaman pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), seterusnya meletakkan Pulau Pinang sebagai peneraju serantau dalam bidang berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa Tech Dome Penang bakal meraikan ulang tahun ke-10 pada 16 Julai 2026 sebagai simbolik kepada sedekad usaha menyemarakkan budaya inovasi dan rasa ingin tahu dalam kalangan masyarakat.
“Pelancaran rasmi sambutan dijangka berlangsung pada penghujung Mei ini dengan menampilkan 10 program khas untuk orang awam, termasuk tawaran 10,000 slot kemasukan percuma kepada warga Pulau Pinang bagi meningkatkan akses kepada pembelajaran sains dan teknologi,” katanya yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains & Teknologi.

Sementara itu, Boo Wooi berkata, dalam perancangan awal, pusat sains baharu tersebut akan dibangunkan dengan skala lebih besar dan moden.
“Ia melibatkan pembinaan bangunan enam tingkat lengkap dengan aras bumbung dan ruang bawah tanah di atas tapak sekurang-kurangnya tiga ekar, dengan keluasan kira-kira 240,000 kaki persegi.
“Idea pembangunan ini turut diperkukuh susulan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Muzium Sains dan Teknologi Shanghai serta Muzium Sains dan Teknologi Shenzhen, China, bulan lalu.
“Ini merupakan satu langkah strategik dalam menyokong pembangunan pusat baharu tersebut melalui kerjasama antarabangsa dan pertukaran kepakaran,” jelasnya.
Sebagai rekod, Tech Dome Penang merupakan pusat sains dan teknologi bukan berasaskan keuntungan yang diwujudkan atas inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui kerjasama awam-swasta, dengan matlamat meningkatkan literasi sains serta minat terhadap bidang teknologi dalam kalangan masyarakat.
Tech Dome Penang dibangunkan bagi menangani keperluan bakat dalam bidang STEM, selain menjadi platform pembelajaran interaktif untuk pelajar dan orang awam. Pusat ini menempatkan lebih 120 pameran interaktif merangkumi pelbagai bidang termasuk robotik, fizik, optik dan teknologi maklumat, sekali gus menjadikannya pusat sains pertama seumpamanya di Pulau Pinang.
Sejak dibuka kepada umum pada 2016, Tech Dome Penang terus berkembang sebagai platform pembelajaran berasaskan pengalaman yang menggalakkan penerokaan, kreativiti dan inovasi dalam kalangan generasi muda.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: SIEW CHIA EN