TEK-UPP buka laluan usahawan mikro SPS kuasai pasaran digital

Admin
picture1

JAWI – Seramai 26 usahawan mikro luar bandar tempatan di Seberang Perai Selatan (SPS) kini diperkasa dengan kemahiran digital bagi membantu mereka memperluas pasaran, memperkukuh penjenamaan dan meningkatkan potensi jualan menerusi Program Transformasi Usahawan Mikro Luar Bandar Pulau Pinang (TEK-UPP).

Pengarah Program yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Norizan Baba Rahim berkata, pendekatan TEK-UPP dirangka supaya peserta bukan hanya memahami kepentingan pendigitalan, tetapi mampu menggunakannya secara terus dalam perniagaan masing-masing.

“Program ini bukan sekadar memberi latihan, malah membimbing peserta mengaplikasikan teknologi digital secara terus dalam operasi perniagaan mereka.

“Pendekatan ini membolehkan peserta menghasilkan bahan promosi yang boleh terus digunakan sebaik sahaja program selesai,” ujarnya.

 

picture4

Menurut beliau, peserta dibimbing menguasai pelbagai kemahiran termasuk pemasaran digital, pembangunan identiti jenama, penggunaan WhatsApp Business, Facebook Page dan TikTok Business, selain menghasilkan katalog digital, poster serta video pemasaran.

Pendekatan secara amali menjadi kekuatan utama program apabila peserta terus menghasilkan kandungan pemasaran menggunakan telefon pintar, komputer dan peralatan digital seperti ‘ring light’.

“Peserta bukan sekadar mendengar dan belajar, tetapi terus menghasilkan kandungan yang diperlukan untuk perniagaan mereka.

“Melalui kaedah ini, mereka dapat membina keyakinan untuk menggunakan platform digital bagi memperluaskan pasaran dan meningkatkan daya saing perniagaan,” katanya.

 

picture3

Mengulas lanjut, Dr. Norizan memberitahu bahawa peserta turut dibimbing membangunkan identiti jenama, katalog digital dan bahan promosi yang boleh terus dimanfaatkan selepas program berakhir.

Lebih menarik, katanya, impak program turut dipantau menerusi Sistem Pemantauan dan Penilaian TEK-UPP yang dibangunkan pasukan penyelidik USM bagi merekod perkembangan penggunaan platform digital, tahap pendigitalan perniagaan dan prestasi jualan peserta.

“Pendekatan berasaskan data ini membolehkan keberkesanan program dinilai secara objektif dan menjadi asas kepada penambahbaikan pelaksanaan pada masa hadapan.

“Hasil pemantauan awal menunjukkan sebahagian peserta berjaya merekodkan jualan secara digital dalam tempoh tujuh hari selepas mengikuti program,” jelasnya.

 

picture2

Perkembangan tersebut, tambahnya lagi, memberi petunjuk awal bahawa pendekatan pendigitalan yang dilaksanakan mampu membantu usahawan mikro luar bandar membuka ruang pasaran yang lebih luas, selain berpotensi meningkatkan pendapatan.

Justeru, TEK-UPP dilihat bukan sekadar program latihan keusahawanan, sebaliknya satu pendekatan pembangunan kapasiti yang menggabungkan latihan praktikal, penggunaan teknologi dan pemantauan prestasi bagi memastikan kemahiran yang diperoleh peserta diterjemahkan kepada manfaat sebenar dalam perniagaan.

“Inisiatif berkenaan turut menyokong aspirasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam memperkukuh ekonomi luar bandar menerusi pemerkasaan usahawan, pendigitalan perniagaan dan peluasan akses pasaran secara lebih inklusif serta mampan,” katanya.

Difahamkan, program dua hari itu yang diadakan pada 21 dan 22 Julai lalu, berlangsung di Pusat Transformasi Digital, Kampus Kejuruteraan USM, Nibong Tebal dekat sini dan dianjurkan oleh PPPJJ, USM dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menerusi Pejabat Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol.

Gambar: USM