Teliti inisiatif wujudkan ‘bank pekerjaan’ bantu rakyat terkesan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang kini sedang meneliti inisiatif baharu bagi membantu rakyat yang terkesan dan kehilangan pekerjaan sejak negara dilanda pandemik COVID-19.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sebagai sebuah Kerajaan Negeri yang prihatin dan responsif, pihaknya sentiasa memikirkan inisiatif-inisiatif baharu untuk membantu rakyat dalam tempoh sukar kini.

 

Dalam masa terdekat ini, Kerajaan Negeri akan melancarkan inisiatif baharu iaitu ‘job bank’ atau ‘bank pekerjaan’ yang mana pihak memerlukan pekerjaan serta mereka yang mempunyai peluang pekerjaan dapat berinteraksi dalam satu platform.

 

“(Dan) inisiatif terbaru ini (segala butiran lanjut) akan diumumkan apabila tiba masanya,” ujarnya sejurus hadir menerima sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO), One Hope Charity & Welfare (One Hope Charity) dekat Komtar di sini tadi.

 

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Tanjong menerima sumbangan ‘Beg Makanan Penyayang’ daripada One Hope Charity.

 

“Terima kasih kepada One Hope Charity kerana tidak pernah kenal erti penat untuk terus menyumbang kepada rakyat di negeri ini sejak pandemik COVID-19 melanda.

 

BEG Makanan Penyayang yang disumbangkan oleh One Hope Charity.

“Dalam keadaan sekarang ini, saya percaya sumbangan ini amat bererti kepada (penerima) yang terkesan dan usaha yang ditunjukkan oleh One Hope Charity adalah amat disanjungi serta dihargai,” katanya.

 

Difahamkan, sebanyak 3,900 set beg makanan bernilai RM780,000 akan diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan berdaftar di 13 kawasan Parlimen di negeri ini yang mana setiap kawasan menerima 300 set.

 

Sumbangan disampaikan oleh Penasihat One Hope Charity, Datuk Seri R. Arunasalam dan Pengerusi One Hope Charity, Chua Sui Hau.

 

Sebelum ini, pada Januari 2021, sebanyak 4,200 set beg makanan sama bernilai RM1.26 juta diagihkan kepada golongan memerlukan di semua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini selain bantuan segera kepada golongan sasar yang bernilai RM400,000 sekali gus menjadikan jumlah sumbangan keseluruhan antara Januari hingga Julai 2021 sebanyak RM3.44 juta.

 

Ketika ditemui Sui Hau memberitahu bahawa sejak awal tahun ini, One Hope Charity telah menyumbang lebih 15,000 paket makanan kepada golongan yang memerlukan.

 

CHUA Sui Hau.

Disebabkan situasi semasa pandemik dan pihak kami perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka sumbangan disampaikan kepada wakil bagi setiap kawasan Parlimen dan KADUN untuk membantu golongan sasar.

 

“Selain sumbangan beg makanan, One Hope Charity turut menyumbangkan 5,000 set kotak makanan berjumlah RM1.0 juta yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier kepada golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan,” jelasnya.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING
Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR