Teliti jenis pokok teduh agar tidak rosakkan struktur parkir, bangunan awam – Lip Chee

Admin
SOON Lip Chee

BAGAN JERMAL – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) wajar mengkaji semula garis panduan berkaitan kerja-kerja landskap agar akar pokok teduh yang ditanam tidak merosakkan struktur sedia ada pada fizikal bangunan dan kawasan awam di negeri ini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata demikian semasa mengulas mengenai kerja-kerja penaiktarafan Pasar Awam Sri Uda termasuk kawasan parkir yang rosak teruk akibat akar pokok teduh yang kian membesar di sini.

“Saya syor MBSP dan MBPP buat suatu dasar untuk jangka panjang supaya setiap pemaju bagi projek pembinaan tempat awam dan pasar awam meneliti jenis pokok (teduh) yang ditanam mengikut spesifikasi; jangan akar pokok sampai merosakkan lantai,” jelasnya semasa melawat tapak projek penarafan pasar awam tersebut di sini pada 6 September 2022.

GAMBAR akar pokok teduh yang kian membesar hingga merosakkan struktur lantai bertar kawasan parkir Pasar Awam Sri Serdang di sini.
NG Yee Siang (kanan sekali) di perkarangan tapak fasa 1 projek penaiktarafan Pasar Awam Sri Serdang di sini pada petang tadi.

Sebelum itu, Ahli Majlis MBSP, Ng Yee Siang memberitahu bahawa kerja-kerja penaiktarafan tandas awam, bumbung, sistem perparitan dan kaki lima bangunan, jalan serta penebangan pokok teduh berkaitan dalam Fasa 1 projek itu menelan belanja kira-kira RM142,300.

“Fasa 1 projek penaiktarafan pasar awam ini telah dimulakan sejak dua minggu lepas lagi, (manakala) Fasa 2 projek melibatkan penaiktarafan parit perimeter yang merangkumi kawasan tempat letak kereta atau parkir.

“Terdapat ranting pokok yang sering kali terjatuh dan menyebabkan struktur parit sedia ada rosak, jadi kita (MBSP) turut akan menaik taraf kawasan parkir serta menurap jalan dengan tar,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan status permohonan Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal supaya MBSP menambah 14 lot gerai penjaja kekal dalam Fasa 3 projek penaiktarafan Pasar Awam Sri Uda itu.

Menurutnya, surat permohonan yang dikemukakan Lip Chee pada tahun lepas, kini dalam proses pertimbangan MBSP.

“Jabatan (Kejuruteraan MBSP) sedang melantik arkitek dan menjalankan kerja pengiraan kos (pemajuan bagi Fasa 3 projek penaiktarafan Pasar Awam Sri Uda tersebut,” respons beliau.

Pasar Awam Sri Uda yang siap dibina pada 24 Februari 1998, kini berusia 24 tahun, dengan tujuan untuk menangani isu lambakan penjaja kecil sekitar Kompleks Makanan Taman Sin Tatt, Butterworth pada waktu itu.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS