Tembok penahan cerun siap, atasi risiko tanah runtuh

photo 6086615588340962070 y ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang (empat dari kanan) menunjukkan tembok penahan cerun yang siap dibina pada Julai tahun ini di kawasan bukit bersebelahan All Seasons Park Condominium di Farlim selepas berlakunya kejadian tanah runtuh tahun lalu.

AIR ITAM – Penduduk yang mendiami All Seasons Park Condominium di Farlim dekat sini boleh menarik nafas lega apabila kerja pembaikan susulan kejadian tanah runtuh yang berlaku tahun lalu di kawasan bukit bersebelahan kondominium itu kini telah siap sepenuhnya dengan pembinaan tembok penahan cerun.

Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 16 April tahun lalu itu turut menjejaskan struktur tanah di kawasan tanah perkuburan Cina milik United Hokkien yang terletak tidak jauh dari kondominium berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berkata, sebagai langkah keselamatan susulan kejadian berkenaan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi memastikan kestabilan cerun bukit sedia ada tidak menimbulkan risiko kepada keselamatan awam, harta benda serta persekitaran di kawasan berkenaan.

“Sehubungan itu, kerja pembaikan akhirnya dimulakan pada 1 April lalu sebelum siap sepenuhnya pada 17 Julai, dengan kos pembaikan berjumlah RM500,000.

“MBPP kemudian mengarahkan pihak pemaju hartanah kondominium ini, Belleview Group, melalui jurutera perunding geoteknikal bertauliah, WYA Consulting Engineer Sdn. Bhd., untuk melaksanakan kerja mitigasi jangka panjang, dengan kos bayaran yuran perunding termasuk kos imbuhan balik berjumlah RM500,000.

“Berdasarkan Seksyen 82 Notis Menghendaki Kacau Ganggu Dihapuskan, MBPP mengarahkan supaya kerja pemulihan ini melibatkan aspek seperti penyediaan reka bentuk terperinci bagi cadangan pemulihan cerun, mengawal selia serta memantau kerja pembaikan cerun sepenuh masa sehingga perakuan siap kerja dikeluarkan serta sepanjang tempoh tanggungan kecacatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan tinjauan di kawasan cerun berhampiran kondominium berkenaan, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Urusan Belleview Group, Datuk Seri Sonny Ho dan Pengarah Urusan WYA Consulting Engineers Sdn. Bhd., Datuk Ir. Yau Ann Nian.

photo 6086615588340962066 y
Tembok penahan cerun yang dibina bagi mengekang sebrang aktiviti pergerakan tanah dan kejadian tanah runtuh di sekitar bahagian bukit bersebelahan All Seasons Park Condominium dan Tanah Perkuburan Cina milik United Hokkien di Farlim, Air Itam.

Mengulas lanjut, Soon Siang berkata, MBPP turut mengarahkan supaya kerja ukur terperinci dijalankan di lapangan sebelum satu laporan geoteknikal yang disahkan oleh jurutera bertauliah dikeluarkan.

“Antara kerja pembaikan yang dilaksanakan sepanjang tempoh lebih tiga bulan itu termasuk slope trimming work, guniting, soil nailing, pemasangan horizontal drain dan UPVC pipe outlet, serta pembinaan interceptor drain, cascade drain dan sump.

“Kita dapat melihat aliran air hujan dari bukit ini dapat dialirkan menerusi sistem perparitan yang dibina bagi mengelakkan air bertakung atau menjejaskan struktur tembok penahan cerun ini,” jelasnya.

Oleh: MOHD. AIZAT SHARIF FISALLUDDIN
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN