Terkilan prestasi lemah TP1M, Exco seru Pusat segerakan kelulusan baki permohonan

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI

DATUK KERAMAT – Penduduk Taman Han Chiang dekat Jalan Sungkai di sini dikatakan cukup bertuah apabila kos penyelenggaraan pembaikan bumbung serta pengecatan semula berjumlah RM389,000 dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo dan Kerajaan Negeri.

Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan berkata, melalui Tabung Penyelenggaraan Maksima 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP), Kerajaan Negeri bersetuju menampung 80 peratus kos pembaikan bumbung berjumlah RM135,200.

“Manakala, bagi pengecatan semula skim perumahan kos rendah ini, sebanyak RM44,000 atau 20 peratus daripada kos pengecatan ditanggung oleh TPM80PP.

“Ia sekaligus menjadikan kos tanggungan TPM80PP adalah berjumlah RM179,200, dan baki (RM209,800) bagi kedua-dua projek ini bakal dibiayai oleh saya selaku ADUN kawasan.

“Sebagai tambahan, kerja-kerja pembaikan bumbung serta pengecatan semula projek ini dijangka siap dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini (20 Mac),” katanya ketika hadir merasmikan kerja-kerja pengecatan dekat Taman Han Chiang di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Taman Han Chiang, Ung Lay Pheng. Jagdeep dalam pada itu turut memaklumkan bahawa melalui satu mesyuarat pada pagi 20 Mac lalu, kemaskini maklumat menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sejak 2013 telah membelanjakan RM21.41 juta bagi 138 projek kritikal (bawah skim perumahan swasta) melalui TPM80PP membabitkan pembaikan atau penggantian lif, tangki air dan bumbung.

“Ia meliputi kerja-kerja penyelenggaraan di skim-skim perumahan layak, iaitu tidak melebihi harga RM150,000 pada tarikh pembelian… dan juga membelanjakan RM30.6 juta bagi skim perumahan awam di negeri ini sejak 2010.

“Hal ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Pusat gagal dalam program penyelenggaraan TP1M (Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia) apabila hanya 29 permohonan dari Pulau Pinang diluluskan sejak tahun 2013 iaitu daripada jumlah keseluruhan 143
permohonan.

“Memandangkan Perdana Menteri sendiri mengumumkan bahawa RM200 juta telah ‘disuntik’ kepada TP1M melalui Bajet 2018, saya menyeru agar baki permohonan daripada Pulau Pinang dapat diberikan kelulusan segera,” gesanya yang agak terkilan dengan prestasi lemah Kerajaan Persekutuan berhubung penyelenggaraan skim-skim perumahan di negeri ini.