Penang Alert sampai info awal bencana, kejadian kecemasan langsung kepada rakyat

GEORGE TOWN – Seperti dihasratkan, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada 7 Mac lalu melancarkan portal Penang Alert, iaitu sistem penyampaian info awal bencana dan kejadian kecemasan, langsung kepada rakyat di Pulau Pinang.

Bercakap kepada pemberita, beliau berharap aplikasi pintar atas talian itu dapat membantu Pihak Berkuasa Negeri dan semua lapisan rakyat membuat persiapan lebih awal, sebelum bencana atau kejadian kecemasan yang tidak diingini berlaku di negeri ini kelak.

Menurut Guan Eng, portal itu boleh dicapai semua pihak di alamat http://alert. penang.gov.my, yang boleh diakses melalui portal rasmi Kerajaan Negeri sedia ada, www.penang.gov.my.

“Pendek kata, Penang Alert membantu orang awam untuk lebih bersedia dalam menghadapi situasi bencana atau meminimum serta mengelak impak bencana atau situasi kecemasan atau (sebarang\ bentuk) halangan,” ujarnya pada majlis perasmian berkaitan di sini.

Turut serta, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; barisan Exco Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Sarul Bahiyah Abu dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Ar. Yew Tung Seang.

Tambah Guan Eng, Penang Alert yang akan dilancarkan merupakan fasa pertama kepada usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan penyaluran informasi awal berkaitan bencana mahupun perkaraperkara yang akan mengganggu urusan/ perjalanan harian rakyat seperti penutupan jalan-jalan utama, tanah runtuh, pokok tumbang dan sebagainya.

“Untuk fasa kedua Penang Alert pada tahun ini, Kerajaan Negeri bercadang untuk meningkatkan fungsinya dengan penambahan saluran melalui aplikasi mudah alih (mobile apps) d a n memperluaskan kolaborasi perkongsian data dengan jabatan/agensi kerajaan seperti Jabatan Ukur dan Pemetaan serta Jabatan Meteorologi supaya maklumat seperti air pasang surut dan keadaan cuaca serta info penutupan jalan daripada kedua MBPP dan MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) dan JKR (Jabatan Kerja Raya) dapat disampaikan dengan lebih cepat dan tepat kepada rakyat,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri masih tidak berpuas hati berhubung ‘kegagalan’ Jabatan Meteorologi untuk memberikan amaran dengan lebih awal berhubung bencana angin ribut yang terburuk telah berlaku dalam sejarah Pulau Pinang pada 4 dan 5 November 2017.

“Tidak boleh dinafikan bahawa amaran ‘merah’ hanya diberikan pada jam 9.30 malam apabila bencana angin ribut telah bermula sehingga feri Pulau Pinang boleh diangkat naik dan ditolak ke atas darat,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri hari ini pada tahun 2011 membelanjakan sejumlah RM87,700 bagi membangunkan sistem eBencana; sebelum keupayaan sistem pintar itu ditingkatkan serta dijenamakan semula sebagai portal Penang Alert mulai tahun 2016.