Terus perkasa agromakanan, pacu pembangunan luar bandar – Exco

whatsapp image 2026 09 22 at 11.33.19

GEORGE TOWN – Pelbagai usaha digerakkan Kerajaan Negeri bagi memperkukuh sektor agromakanan, meningkatkan produktiviti pesawah dan penternak serta menambah baik kemudahan infrastruktur demi manfaat rakyatnya.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan, Dato’ Rashidi Zinol berkata, antara usaha yang diberi perhatian ialah pelaksanaan projek perintis penanaman padi ratun yang berpotensi menawarkan kaedah penanaman lebih efisien kepada pesawah.

Menurutnya, kaedah padi ratun membolehkan tanaman padi tumbuh semula daripada tunggul selepas penuaian pertama, sekali gus berpotensi memendekkan tempoh penanaman serta mengurangkan sebahagian kos pengeluaran.

“Projek perintis ini akan terus dipantau bagi menilai keberkesanan, hasil serta kesesuaiannya untuk dikembangkan dengan lebih meluas pada masa hadapan.

“Kita mahu terus menggalakkan pendekatan dan inovasi baharu dalam sektor pertanian demi meningkatkan hasil, menjaga kebajikan pesawah serta memperkukuh keterjaminan makanan Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi.

whatsapp image 2026 09 22 at 11.33.55

Dalam pada itu, Rashidi turut meninjau cadangan pembangunan Feedlot Ternakan Ruminan (Kandang Lembu) di Pantai Acheh, Mukim 1, Daerah Barat Daya, bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran.

Katanya, lawatan tersebut bertujuan menilai keadaan dan kesesuaian tapak serta memastikan perancangan pembangunan projek dapat diteliti secara menyeluruh dan diselaraskan dengan pihak berkaitan.

“Usaha memperkukuh sektor penternakan akan terus diberi perhatian sebagai sebahagian daripada agenda keterjaminan makanan Pulau Pinang, di samping membuka ruang kepada pembangunan sektor agromakanan yang lebih tersusun dan mampan,” katanya.

whatsapp image 2026 09 22 at 11.33.34

Sementara itu, Rashidi berkata, perancangan dan perincian pelaksanaan Projek Pelebaran Persimpangan Pekan Sungai Acheh turut diberi perhatian menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan yang dipengerusikannya baru-baru ini.

Menurutnya, projek berkenaan penting bagi menambah baik aspek keselamatan, kelancaran aliran trafik dan keselesaan pengguna jalan raya, khususnya penduduk Sungai Acheh dan kawasan sekitarnya.

“Persimpangan ini merupakan antara laluan utama penduduk Sungai Acheh dan kawasan sekitarnya.

“Justeru, usaha pelebaran ini amat penting bagi melancarkan aliran trafik, meningkatkan tahap keselamatan serta memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya.

“Saya akan terus mengikuti perkembangan projek ini dan memastikan setiap tindakan yang diperlukan dapat digerakkan dengan teratur sehingga hasrat untuk melihat persimpangan Pekan Sungai Acheh yang lebih selamat dan teratur menjadi kenyataan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh.

whatsapp image 2026 09 22 at 11.33.19 (1)