Teruskan program kebaktian, amanat TYT buat Majlis Dato’ Dato’ Negeri Pulau Pinang

Admin
TUN Ahmad Fuzi Abdul Razak (empat dari kiri) dengan diiringi isteri (lima dari kiri) dan Ketua Menteri (dua dari kiri) menerima sumbangan Tabung Derma Kebajikan Dato Dato’ Negeri Pulau Pinang daripada Abdul Rafique Abdul Karim (tiga dari kiri) dalam majlis berkaitan di sini pada 26 Ogos 2022.

TELUK BAHANG – Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak berharap sekalian anggota Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang supaya kekal menjaga wibawa masing-masing, di samping terus mengambil bahagian dalam program-program kebaktian dengan sokongan daripada Kerajaan Negeri hari ini.

“Saya berharap pihak Majlis (Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang) dapat meneruskan pelbagai inisiatif dan usaha-usaha murni yang telah dijalankan selama ini.

“Saya yakin usaha-usaha murni ini akan disambut baik oleh rakyat serta disokong oleh Kerajaan Negeri,” katanya sambil merakamkan penghargaan atas penganjuran majlis berkaitan pada malam ini.

Beliau menyampaikan amanat itu semasa merasmikan Ulang Tahun Ke-35 Malam Panaung Majlis Ulang Tahun Ke-35 Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang yang dilangsungkan dekat Batu Feringgi di sini pada 26 Ogos 2022.

Kehadiran isteri kepada TYT, Toh Puan Khadijah Mohd. Nor menambahkan lagi seri majlis keraian dan jamuan malam sekalian.

Hadir sama, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan beberapa Exco Kerajaan Negeri.

Sebelum itu, Presiden Majlis Dato’-Dato’ Negeri Pulau Pinang , Datuk Seri Abdul Rafique Abdul Karim berharap program-program kebaktian yang dilaksanakan oleh badan tersebut dapat diperluas lagi dengan kesudian Ahmad Fuzi menyampaikan amanat serta nasihat dalam majlis berkaitan.

Serentak pada majlis sama, Ahmad Fuzi dengan diiringi Kon Yeow, Abdul Rafique dan beberapa dif kehormat lain turut menyampaikan penghargaan berupa Anugerah Belia-belia Cemerlang 2022 dan Anugerah Perkhidmatan Emas 2022 kepada beberapa penerima.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : ALISSALA THIAN