‘The Perai Curved’ juarai pertandingan reka bentuk mercu tanda Seberang Perai

SEBERANG JAYA – ‘The Perai Curved’ karya Muhammad Jafni Muhammad Azmi dipilih sebagai juara bagi pertandingan Reka Bentuk Mercu Tanda Seberang Perai anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Kemenangan tersebut melayakkan Muhammad Jafni, 28, membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 berserta sijil penghargaan.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Mohd. Hanif Zulkifli, 33, melalui karya ‘Pangku Rimbun’ manakala ‘Mercu Dedaun Sungai’ karya Ahmad Zaini Zainul Abidin, 56, di tempat ketiga yang mana masing-masing menerima hadiah RM700 dan RM400 berserta sijil penghargaan.

‘The Perai Curved’ hasil karya Muhammad Jafni Muhammad Azmi.

Tujuh lagi peserta menerima hadiah saguhati berupa wang tunai bernilai RM100 berserta sijil penghargaan.

Hadiah disampaikan oleh Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud selepas majlis pengumuman pemenang bagi pertandingan berkenaan dekat Ruang Media Menara Bandaraya, di sini pagi ini.

Turut serta, Setiausaha Bandaraya, Ir. Rosnani Mahmod serta Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP.

Rozali berkata, karya-karya yang terpilih bakal menghiasi pintu masuk ketiga-tiga daerah di Seberang Perai iaitu di Bumbung Lima (Seberang Perai Utara), Jalan Kulim (Seberang Perai Tengah) dan simpang tiga dekat Permatang Keling (Seberang Perai Selatan).

“Ini adalah satu visi yang telah termaktub iaitu Seberang Perai inklusif, kompetitif, hijau dipacu oleh teknologi.

“Diilhamkan oleh Ahli-Ahli majlis, kita (MBSP) minta penduduk membuat reka bentuk (mercu tanda) untuk kita supaya penduduk merasakan bahawa Seberang Perai adalah milik bersama.

“Mercu tanda pintu masuk ini akan dipasang pada tahun ini juga tetapi secara berperingkat,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MUHAMAD RIADZ AKMAL RUSDANI