2019-nCoV: Tahap kesiapsiagaan, kawalan dua pintu masuk antarabangsa Pulau Pinang ditingkatkan – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Tahap kesiapsiagaan serta kawalan dua pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Pelabuhan Swettenham Pier George Town akan ditingkatkan sebagai langkah membendung penularan jangkitan Novel Coronavirus (2019-nCoV) ke negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow mengumumkan perkara itu selepas kira-kira dua jam mengadakan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Komtar pada 29 Januari 2020.

Tambah beliau, keadaan keselamatan di Pulau Pinang ketika ini adalah tenang dan terkawal.

“Tapisan saringan tahap kesihatan pelancong pada masa ini telah dilaksanakan dengan baik dan terkawal oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Pengerusi JKKN Pulau Pinang.

Selain wakil Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai agensi peneraju turut serta dalam Mesyuarat Khas tersebut adalah wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta beberapa agensi keselamatan lain.

Turut serta, beberapa Exco Kerajaan Negeri, Pegawai-pegawai Daerah serta wakil Ketua-ketua Jabatan berwajib.

Kon Yeow dalam pada itu turut menasihati rakyat Pulau Pinang supaya tidak terpengaruh dengan maklumat palsu yang disebarkan melalui Facebook, Twitter, WhatsApp dan sebagainya.

“Semua lapisan rakyat disarankan agar merujuk kepada sumber sahih serta tepat, seperti laporan dan data-data yang dikeluarkan oleh JKN Pulau Pinang serta KKM.

“Elakkan diri daripada membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita palsu,” tegasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi.

Bercakap pada sidang media selepas itu, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Dr. Asmayani Khalib memberitahu bahawa KKM akan mengedarkan borang maklumat peribadi kepada semua pelancong asing yang masuk ke negeri ini untuk panggilan susulan.

“Dalam tempoh 14 hari (selepas pulang ke Malaysia), mereka (pelancong asing) akan dihubungi…kalau ada tanda-tanda biasa jangkitan termasuk gejala pernafasan, demam, batuk, sesak nafas dan kesukaran bernafas, mereka akan melalui sesi saringan dan pemeriksaan lanjut.

“Mereka yang ada rekod perjalanan dari (Republik Rakyat) China dalam tempoh 14 hari ini atau mereka yang ada berhubung dengan mana-mana pihak yang ada rekod perjalanan dari negara (Republik Rakyat China) itu, walaupun di negara-negara Eropah, kita akan kenal pasti, walaupun tiada tanda-tanda jangkitan biasa (wabak), akan dikuarantin juga untuk saringan lanjut.

“Bagi pelancong-pelancong yang berasa bimbang dengan (perubahan) tahap kesihatan diri juga boleh terus ke mana-mana klinik serta hospital untuk pemeriksaan lanjut,” serunya.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD
Video: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS