Tiada istilah rakyat dipinggirkan dalam kamus Kerajaan Negeri, kata Kon Yeow

Admin

BERTAM – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa sejak 2008, Kerajaan Negeri Pulau Pinang berusaha melaksanakan pelbagai program yang mampu memberi manfaat kepada seluruh rakyat di negeri ini tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau menegaskan bahawa di dalam kamus Kerajaan Negeri tidak pernah ada istilah mana-mana rakyat harus dipinggirkan dalam arus pembangunan pesat negeri Pulau Pinang.

“Itulah amalan Kerajaan Negeri sepanjang 11 tahun ini, dan kita memang menghargai rakyat yang memberi kesempatan kepada kita untuk menerajui kepimpinan di negeri Pulau Pinang.

Seramai 600 golongan memerlukan di kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor menerima sumbangan hamper sempena Hari Raya Aidilfitri daripada Kerajaan Negeri.

“Justeru, saya percaya dalam tempoh 10 tahun ini rakyat telah melihat sendiri bagaimana Kerajaan Negeri membawa program-program yang membawa manfaat kepada masyarakat di negeri ini secara keseluruhannya,” katanya pada Majlis Penyampaian Hamper Sempena Hari Raya Aidilfitri di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; ADUN Bertam, Khalid Mehtab Mohd. Ishaq; ADUN Teluk Air Tawar Mustafa Kamal Ahmad; ADUN Komtar merangkap Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Teh Lai Heng; Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng dan ramai lagi.

Pada majlis tersebut, sebanyak 600 hamper berupa keperluan asas diagihkan melalui Pejabat Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri kepada golongan memerlukan dari kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Selain itu, turut menerima sumbangan adalah lapan masjid dan surau di kawasan parlimen berkaitan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD